Gaya Hidup

Kempen ‘1 Kilogram Ikan RM1’ Antara Tarikan Terbaharu Di Kuala Selangor

Jika sebelum ini Kuala Selangor sering kali menjadi tumpuan jika mahu melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan atau makan mee udang galah, kini terdapat satu lagi tarikan untuk anda berkunjung ke sana dengan lebih kerap.

Menawarkan promosi 1 kilogram ikan pada harga serendah RM1, SNZ Pembekal Ikan Segar (Dari Laut Terus Ke Rumah) milik SNZ Top Global menjanjikan pelbagai pilihan dan jenis makanan laut yang dijual segar pada setiap hari.

Menurut pengerusinya, Norhamizah Nordin, dia dan dua lagi kenalan sepakat membuka kedai menjual ikan segar hasil tangkapan nelayan terus kepada pembeli selepas memulakan perniagaan kecil-kecilan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu.

“Kami bermula kecil-kecilan ketika PKP, tak sangka sambutan sangat baik dan kami mencuba peluang untuk mencari rezeki yang baharu.

“SNZ milik penuh Bumiputera menawarkan ikan berkualiti dan segar dibekalkan daripada nelayan tempatan untuk pasaran di sekitar Kuala Selangor dan Lembah Klang termasuk melalui khidmat penghantaran,” katanya.

Kedai SNZ Pembekal Ikan Segar (Dari Laut Terus Ke Rumah) telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, baru-baru ini.

Norhamizah berkata, dua tulang belakangnya selaku pemilik bersama ialah anak muda yang memulakan perniagaan ikan segar sejak PKP lalu iaitu Mohd Zulakmal Jamaludin dan Mohammad Shahrul Nizam.

Katanya, dua pemuda berkenaan memberikan keyakinan dan idea untuk mengembangkan perniagaan ikan segar itu sehingga berjaya membuka kedai pada hari ini.

“Kedua-dua mereka dan suami banyak membantu saya dan memberikan semangat untuk membuka perniagaan ini dan ia satu usaha yang mencabar namun kami sahut juga cabaran ini.

“Ia bukan satu proses yang mudah namun kami nekad meskipun kaum bumiputera kurang menceburkan diri dalam bidang ini,” katanya lagi.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai kempen ‘1 Kilogram Ikan RM1’, Norhamizah berkata, ia merupakan antara tanggungjawab sosial (CSR) yang cuba dilakukan oleh mereka bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan di kawasan sekitar.

“Ini merupakan antara cara untuk memberi semula kepada pelanggan yang tidak putus-putus memberikan sokongan terhadap perniagaan kami.

“Kempen ini akan dijalankan sepanjang tempoh promosi pembukaan mengikut konsep ‘happy hour’ yang akan dimaklumkan di media sosial.

“Ikan yang dijual pada harga promosi itu membabitkan jenis-jenis tertentu dan terhad kepada syarat yang ditetapkan bagi memastikan semua pelanggan dapat menikmatinya.

“Kami sangat mementingkan kualiti dan tidak akan berkompromi dalam hal ini kerana kami hanya mahu memberikan yang terbaik daripada SNZ,” katanya lagi.

Antara tarikan lain yang menjadi keunikan di kedai SNZ ialah pekerja mereka terdiri daripada golongan jejaka berbadan sasa yang menjaga kesihatan dan penampilan yang sering kali mendapat julukan ‘abang sado’.

Bagi SNZ, apa juga pekerjaan yang dilakukan penampilan diri harus menjadi keutamaan dan sama sekali tidak boleh diabaikan.

“Pekerja kami antaranya memang aktif di gimnasium selain mereka sendiri melakukan kerja berat menggendalikan stok ikan harian yang dibekalkan daripada nelayan,” ujar Norhamizah lagi.

Sudah merangka rancangan jangka panjang, SNZ berhasrat untuk melebarkan pasaran ke seluruh negara termasuk membuka cawangan di beberapa negeri lain. Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan SNZ serta kempen ikan murah yang ditawarkan, anda boleh layari laman Instagram @snztopglobal. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button