Cerita ArtisHiburan

Keserasian Jadi Kekuatan Penyampai Pagi Era Sarawak

Selepas hampir dua tahun menggendalikan rancangan petang di radio Era Sarawak, akhirnya penyampai Fir Affandi dan Afick telah diberi mandat besar mengetuai segmen Pagi Era Sarawak.

Segmen yang baharu sahaja menemui pendengar bermula hari ini (22 Januari) bakal mengupas pelbagai topik termasuk isu semasa serta isu tempatan yang berlaku di sekitar Sarawak.

Selain itu, Fir dan Afick juga akan berganding bahu mengenakan pendengar menerusi slot ‘prank call’ ‘Kan Dah Kenak’ dan sketsa drama Mr Penuak.

Menurut Afick atau nama sebenarnya Mohamamad Afiq Wazai, menerusi segmen Kan Dah Kenak, mereka cuba untuk tidak menyentuh isu-isu sensitif serta memberi harapan palsu kepada pendengar yang ingin dikenakan.

“Untuk segmen prank call, kami cuba untuk tidak bersikap kurang ajar terhadap pendengar. Kadang-Kadang bila kita dengar prank call, ada sesetengah penyampai macam kedengaran agak kurang ajar. Tapi kami tidak akan lepasi batasan itu, konsep kami ialah nakal tapi tidak kurang ajar.

“Selain prank call, kami juga cuba ketengahkan sketsa Mr Penauk atau Mr Know It All. Jika di Semenanjung, ada sketsa dari Mak Jemah, di sini kami akan cuba bawa watak Mr Penauk yang cuba berlagak seperti tahu mengenai semua perkara. Kami bukan pelawak tapi kami akan cuba untuk bagi lawak-lawak untuk menceriakan lagi segmen Pagi Era Sarawak,” katanya ketika ditemui pada majlis pengenalan penyampai baharu Era Sarawak di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Selain Fir dan Afick, Era Sarawak turut diperkuatkan dengan barisan penyampai baharu seperti Napio, Chopie, Elya, Ezri dan Jonathan Ding.

Sementara itu, Fir pula menambah, keserasian yang sudah wujud di antara mereka berdua sejak dua tahun lalu menjadi antara kekuatan untuk slot pagi Era Sarawak. Menurutnya, jika tiada keserasian, ia akan lebih senang dikesan pendengar.

“Saya bertuah digandingkan dengan Afick sebab kami sudah dua tahun bekerjasama sebelum ini dan kami memang sekepala. Keserasian ini yang menjadi kekuatan kami. Kalau tiada keserasian pasti dengan mudah pendengar boleh kesan benda itu. Tapi dengan Afick memang saya tiada masalah untuk bekerjasama sebab kami sudah tahu karakter masing-masing.

“Kami akan cuba berikan yang terbaik dan daripada respon pendengar setakat ini, mereka memberikan respon positif terhadap gandingan kami. Perkara itu menaikkan lagi semangat kami untuk buat yang terbaik,” katanya.

Segmen Pagi Era Sarawak mendapat tajaan daripada Digi ini akan bersiaran dari Isnin hingga Jumaat dari jam 6 pagi sehingga 10 pagi. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button