• FOLLOW US

Faizal Ismail Peruntuk RM500,000 Untuk Mula Hidup Baharu Di UK

Bekas penyampai radio dan pengacara terkenal, Faizal Ismail, 43, mendedahkan dia memperuntukkan sebanyak RM500,000 hasil duit simpanannya sepanjang bergelar deejay untuk memulakan kehidupan baharu di United Kingdom.

Menurut Faizal, dia akan ‘berhijrah’ ke UK selama empat tahun bagi menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Industri Kreatif dan Budaya di Universiti Cardiff, September ini.

“Saya peruntukkan lebih kurang setengah juta (RM500,000) untuk menyambung pengajian dan juga menampung kehidupan keluarga di sana. Saya tidaklah bergolok-gadai sebab memang dah ada simpanan yang dibuat ketika bekerja sebagai penyampai radio dahulu.

“Selain itu, saya turut menerima sebahagian biasiswa yang akan ditanggung pihak universiti. Tempoh masa yang diperuntukkan untuk menghabiskan pengajian dalam setahun sahaja tapi saya tidak menolak mungkin akan menetap lebih lama di sana untuk menggembangkan perniagaan makanan yang diusahakan bersama isteri,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Faizal ditemui pada majlis sambutan ulang tahun pertama program web, Dbilique kelolaannya bersama Fara Fauzana di Taman Tun Dr Ismail, Damansara semalam.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata ini, dia tidak menjadikan usianya yang sedikit berumur sebagai penghalang untuk melaksanakan impian mengejar ilmu sehingga ke peringkat tertinggi.

“Sebenarnya saya dah simpan hasrat nak sambung belajar sejak tiga tahun lalu, namun ketika itu isteri sedang mengandung anak bongsu dan hasrat itu terpaksa dilupakan seketika. Alhamdullilah, impian itu akhirnya tercapai juga dengan izin Allah.

“Saya rasa orang sekarang pun sudah lebih terbuka dan tidak hanya duduk di zon selesa sahaja sebab itu tidak menjadi masalah untuk saya bergelar pelajar lagi di usia sekarang. Saya harap langkah yang dilakukan saya dapat menjadi motivasi buat sesiapa yang ingin meneruskan pengajian,” katanya lagi.

Menurutnya, ‘penghijrahan’ diriya buat seketika ke luar negara itu turut akan disertai isteri serta keempat-empat orang anaknya.

“Anak-anak akan bersekolah di sana, sekurang-kurangnya mereka mendapat pengalaman dan pendedahan baharu yang mungkin tidak dirasai di negara sendiri.

“Cuma anak sulung sahaja yang akan berlepas ke UK selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala yang lain-lain akan ikut saya bertolak pada awal bulan September ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Faizal turut menjelaskan Dbillique akan terus bersiaran seperti biasa dan dia akan membawakan pelbagai kandungan menarik dari UK untuk tontonan peminat program itu. – KopiPlanet.com

Bisnes Sudah Stabil, Shuib Akhirnya Kembali Ke Konti Radio

Pelawak Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, 35, menyatakan keterujaannya apabila dapat kembali semula ke konti radio selepas dia dilantik sebagai muka baharu penyeri segmen Geng Pagi Hot di Hot FM.

Menurut suami kepada Siti Sarah Raisuddin ini, sebaik ditawarkan bergelar penyampai di stesen radio itu dia tanpa berfikir panjang terus menerima kerana merindui suasana bekerja dalam konti radio.

“Ketika ditawarkan memang saya berasa cukup teruja sebab sudah pasti saya merindui untuk masuk semula ke konti radio lebih-lebih lagi saya bergandingan dengan Syuk dan Fizi, yang mana tidak sukar untuk kami ciptakan keserasian di antara satu sama lain.

“Macam dengan Syuk, saya memang sudah selalu bekerjasama dengan dia menerusi program-program lawak dan bila kali ini dapat berada dalam satu konti, memang impian saya tercapailah sebab pernah borak dengan dia nak duduk dalam satu konti bersama-sama,” katanya ketika dihubungi KopiPlanet.

Shuib sebelum ini pernah bergelar penyampai radio Sinar FM namun meletakkan jawatan kerana ingin memberi perhatian terhadap bidang perniagaan madu yang diceburinya.

“Saya tahu ramai akan bercakap pasal benda ini kenapa saya kembali semula ke radio selepas berhenti kerana nak fokus pada perniagaan. Saya terima tawaran ini selepas saya melihat perniagaan sudah semakin stabil selain ia diuruskan secara ‘auto-run’ malah isteri pun menyokong keputusan saya untuk kembali bergelar deejay.

“Rakan pelawak dan bekas rakan sekerja seperti Jep dan Rahim turut memberi sokongan lepas saya beritahu mereka yang saya akan kembali ke konti malah Ajak pun turut mengucapkan selamat maju jaya bila dia tahu saya akan menggantikan tempatnya, ” jelasnya.

Bersiaran pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 hingga 10 pagi, Shuib mengakui dia merupakan seorang ‘morning person’ dan tidak sukar untuk bangun pagi.

“Saya memang seorang yang tidak susah bangun pagi. Saya selalu bangun jam 6 pagi dan lepas dah jadi deejay balik ini saya kena bangun jam 4 pagi dan ia bukan satu bebanan buat saya,” katanya.

Bercakap mengenai bisnes, selain perniagaan madunya yang semakin berkembang maju, Shuib kini terus melangkah dengan produk kosmetik dan produk menghalau serangga yang akan dipasarkan dalam masa terdekat ini. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Shuib

Tinggalkan Radio… Ajak Shiro Nak Aktif Berlakon Dan Fokus Keluarga

Pelawak Ajak Shiro mendedahkan dia ingin aktif berlakon setelah meninggalkan seketika dunia penyampai radio baru-baru ini.

Menurut Shiro, dia mendapat tawaran untuk berlakon dalam filem Keluarga Iskandar The Movie yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi adalah satu peluang yang tepat dan terbaik buat dirinya.

“Keluarga Iskandar adalah drama yang saya suka tonton dan kini saya dapat pula tawaran untuk bekerjasama dalam filem ini. Sudah pasti peluang ini saya tidak akan tolak.

“Jadi, saya telah mendapat satu cabaran baru untuk berlakon lebih santai dan melakukan watak secara semula jadi,” kata Ajak kepada KopiPlanet.com

Ajak ditemui majlis pelancaran Keluarga Iskandar The Movie yang berlangsung di Platinum Lounge, MMCineplax ECurve, Mutiara Damansara, semalam.

Dalam pada itu, bekas penyampai radio Hot FM itu juga menyatakan selain mahu aktif berlakon, dia juga akan meluangkan lebih banyak masa bersama isteri dan anak-anak.

“Saya akan menghabiskan masa terluang ini dengan membawa isteri dan anak-anak ke tanah suci Mekah. Umrah kali kedua ini, saya juga akan menyambut ulang tahun kelahiran anak-anak dan isteri tercinta sambil melakukan ibadah suci,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Ajak turut mendedahkan dia bakal mengeluarkan single kedua hasil kerjasama dengan Altimet dan Ezra Kong menerusi lagu berentak rap.

“Apabila saya melihat lirik lagu dan mendengar melodi, saya rasa terkesan dalam jiwa saya kerana lagu itu mengisahkan tentang sebuah keluarga.

“Saya tidak meletakkan diri saya sebagai penyanyi terbaik seperti artis yang lain. Mereka lebih hebat dari segi vokal dalam nyanyia,” ujarnya – KopiPlanet.com

Artikel : Syafiqah Othman
Pelajar praktikal : UiTM Puncak Perdana

Mawi Masih Guna Hadiah Kereta Yang Dimenangi Semasa Juarai AF3

Penyanyi serta penyampai radio Zayan iaitu Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi nampaknya terpanggil untuk berkongsi keadaan hadiah kereta Suzuki Swift yang dimenanginya pada tahun 2005 ketika menjuarai Akademi Fantasia musim ke-3 berikutan pemintaan peminatnya.

Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Mawi telah memuat naik foto bersama keretanya yang diambil pada tahun 2005 serta foto terkini keadaan kereta tersebut.

“Ramai yang tanya saya hendak tengok kereta yang saya dapat masa AF dahulu. Betul ke saya masih pakai kereta itu sampai sekarang? Hehe.. cuba selak sebelah,” tulisnya di ruang kapsyen gambar berkenaan.

  

Tenyata, keadaan kereta tersebut dilihat masih lagi dalam keadaan baik dan warnanya pula sudah dicat kepada warna hijau daripada warna asalnya iaitu oren.

Justeru itu, rata-rata peminat turut terkejut apabila mengetahui Mawi masih lagi menggunakan kereta tersebut walaupun sudah 14 tahun berlalu. -KopiPlanet.com

Kredit Foto: Instagram Mawi

Fizi Ali Tak Sanggup Nak Lihat Kesakitan Shakilla Khoriri

Pengacara dan penyampai radio Suria FM, Fizi Ali mengakui tidak sanggup melihat kesakitan isterinya, Shakilla Khoriri yang kini sedang sarat hamil lapan bulan.

Menerusi laman Instagramnya, Fizi telah memuat naik gambar Shakilla yang sedang memakai gas ‘nebulizer’ akibat sesak nafas namun tidak memberitahu lokasi di mana isterinya mendapatkan rawatan.

Bagi Fizi, 30, dia lebih sanggup untuk menanggung segala kesakitan dialami oleh isteri yang mana menunjukkan dia merupakan seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab.

Sementara itu, Fizi turut memberi nasihat kepada para suami untuk terus melayan karenah isteri ketika sedang hamil walaupun ada kalanya permintaan mereka itu kedengaran tidak masuk akal.

Rata-rata rakan artis dan netizen mendoakan kesembuhan Shakilla selain memperoleh kesihatan yang baik sepanjang kehamilannya.

Fizi dan Shakilla mendirikan rumah tangga pada 18 Februari 2018 setelah empat tahun menjalinkan cinta. – KopiPlanet.com

“Tiada Niat Mahu Tukar Profesion Sebagai Penyanyi” – Danial Zaini

Penyampai Radio Era, Danial Zaini, 26, atau lebih dikenali sebagai Danial Lawak Solo mengatakan tidak pernah berniat mahu menukar profesionnya sebagai penyanyi ekoran lagu “Siti Bilang Cuti” yang mencatatkan lebih tiga juta tontonan dan menjadi trending nombor satu selama tujuh hari menerusi DATU YouTube Entertainment.

“Plan mahu buat lagu sudah lama tetapi bila fikirkan kembali siapa yang mahu mainkan lagu saya nyanyikan.

“Tapi selepas berjumpa dengan abang Rumhadi Rumnan dia cakap saya boleh nyanyi dan dia yang kenalkan saya dengan Harry khalifah.

“Jadi Harry Khalifah yang bagi lagu ini. Sebenarnya memang saya tiada niat pun mahu tukar profesion menjadi penyanyi serta cipta single, cuma ianya sebagai portfolio buat saya sebagai pelawak, penyampai radio, penyanyi dan lepas ini mungkin belakon pula,” katanya pada KopiPlanet.com

Daniel ditemui pada majlis sidang media Datu Entertainment yang berlangsung di Wisma Datu, Persiaran Tengku Ampuan, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Oleh itu, Danial juga tidak menyangka bahawa lagu yang dinyanyikan ini telah dimainkan oleh pihak radio walaupun pada awalnya hanya meletakkan target pada digital sahaja.

“Lagu saya ini, saya rasa popular di media sosial dahulu dan kemudian barulah dimainkan di radio Era serta radio-radio lain juga.

“Sebenarnya lagu ini sudah lama dibuat dan disimpan dahulu oleh Harry. Lagu ini sendiri telah ada pengikutnya tersendiri sebab sebelum ini Harry ada juga memainkannya sekadar demo serta memuat naik di YouTube, cuma belum direkodkan sahaja.

“Masa kami berjumpa dulu, Harry ada senaraikan beberapa buah lagu, cumanya saya secara rasmi menyanyikan lagu ini sebab saya rasa lagu ini sesuai dengan saya,” jelasnya.

Di samping itu, apabila bercakap berkenaan kerjaya pelawaknya yang semakin suram pula, Danial tidak menafikan bahawa pelawak solo kini agak sukar mendapat tempat di hati penonton berbanding berkumpulan. Danial turut menambah mahu mencari ahli kumpulan yang bersesuaian agar boleh kembali aktif dalam bidang ini.

Sementara itu, diajukan soalan peribadi, Danial enggan mengulas dengan lebih lanjut berkenaan kisah cinta yang terputus di tengah jalan tahun lalu dan hanya bersyukur apabila sesuatu yang terjadi itu dikembalikan dengan kejayaan lagu “Siti Bilang Cuti” kerana mampu mengembangkan lagi kerjayanya pada tahun ini. -KopiPlanet.com

Artikel: Fatin Marzuki
Pelajar Praktikal Uitm Puncak Perdana

Kredit foto: Instagram Danial Zaini

Issey Tidak Kisah Sekiranya Digambarkan Miliki Karakter Gatal

Penyampai radio Suria FM, Issey Titan atau Fazlisham Mat Hussin menjelaskan bahawa dia tidak mahu bersaing dengan penyanyi lain ekoran pelancaran single pertamanya yang berjudul Alololo ciptaan Yin di bawah DATU Entertainment.

Menurut Issey, tujuan dia menghasilkan single tersebut hanya sekadar mahu mendokumentasikan sesuatu sepanjang perjalanan kariernya sejak tahun 2013 sehingga sekarang.

“Lagu ini tidaklah mengambarkan imej saya sebagai pelawak sebenarnya. Lagipun saya ini bukan penyanyi, jadi saya tidak perlu pun bersaing dengan mana-mana penyanyi.

“Sebenarnya saya mahu dokumentasikan sesuatu yang menarik sepanjang perjalanan karier saya selama enam tahun dan ia boleh ditunjukkan buat anak cucu saya,” katanya pada Kopiplanet.com.

Issey ditemui pada majlis sidang media Datu Entertainment bersama semua artis naungan syarikat tersebut yang berlangsung di Wisma Datu, Persiaran Tengku Ampuan, Shah Alam, Selangor.

Sementara itu, Issey menjelaskan lagu tersebut adalah berkonsepkan memujuk dan liriknya sendiri ditulis oleh Issey semasa dalam perjalanan ke Lombok.

“Idea ini tercetus bila saya terlihat satu pasangan ini merajuk dan seorang lagi memujuk semasa dalam penerbangan ke Lombok selama tiga jam.

“Selepas itu, saya terfikir kalau buat lagu pasal memujuk pun okey sebab memasing pasti ada pasangan. Jadi saya tulis lirik ini selama sejam ketika dalam kapal terbang dan Alololo itu saya sendiri tambah,” jelasnya.

Selain itu, apabila ditanya berkenaan lirik yang dikaitkan dengan kisah peribadinya, Issey secara tenang menjawab hal tersebut merupakan sesuatu yang bagus buat dirinya.

“Sebenarnya itu suatu yang bagus kerana Issey kalau di radio atau televisyen mungkin orang akan nampak karakter gatal. Jadi, saya guna benda ini untuk bawa mesej mengenai lagu ini kepada orang berpasangan walaupun saya tiada pasangan.

“Lagipun saya sendiri tidak kisah digambarkan seorang yang gatal sebab ianya tidak semestinya sama dengan karakter diri di luar,” Katanya.

Dalam pada itu, Issey turut menjelaskan bahawa dirinya masih belum bersedia untuk berumah tangga selepas tiga tahun berpisah dan mahu menumpu sepenuhnya terhadap kerjaya dahulu. – KopiPlanet.com

Artikel: Fatin Marzuki
Pelajar Praktikal Uitm Puncak Perdana

Keserasian Jadi Kekuatan Penyampai Pagi Era Sarawak

Selepas hampir dua tahun menggendalikan rancangan petang di radio Era Sarawak, akhirnya penyampai Fir Affandi dan Afick telah diberi mandat besar mengetuai segmen Pagi Era Sarawak.

Segmen yang baharu sahaja menemui pendengar bermula hari ini (22 Januari) bakal mengupas pelbagai topik termasuk isu semasa serta isu tempatan yang berlaku di sekitar Sarawak.

Selain itu, Fir dan Afick juga akan berganding bahu mengenakan pendengar menerusi slot ‘prank call’ ‘Kan Dah Kenak’ dan sketsa drama Mr Penuak.

Menurut Afick atau nama sebenarnya Mohamamad Afiq Wazai, menerusi segmen Kan Dah Kenak, mereka cuba untuk tidak menyentuh isu-isu sensitif serta memberi harapan palsu kepada pendengar yang ingin dikenakan.

“Untuk segmen prank call, kami cuba untuk tidak bersikap kurang ajar terhadap pendengar. Kadang-Kadang bila kita dengar prank call, ada sesetengah penyampai macam kedengaran agak kurang ajar. Tapi kami tidak akan lepasi batasan itu, konsep kami ialah nakal tapi tidak kurang ajar.

“Selain prank call, kami juga cuba ketengahkan sketsa Mr Penauk atau Mr Know It All. Jika di Semenanjung, ada sketsa dari Mak Jemah, di sini kami akan cuba bawa watak Mr Penauk yang cuba berlagak seperti tahu mengenai semua perkara. Kami bukan pelawak tapi kami akan cuba untuk bagi lawak-lawak untuk menceriakan lagi segmen Pagi Era Sarawak,” katanya ketika ditemui pada majlis pengenalan penyampai baharu Era Sarawak di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Selain Fir dan Afick, Era Sarawak turut diperkuatkan dengan barisan penyampai baharu seperti Napio, Chopie, Elya, Ezri dan Jonathan Ding.

Sementara itu, Fir pula menambah, keserasian yang sudah wujud di antara mereka berdua sejak dua tahun lalu menjadi antara kekuatan untuk slot pagi Era Sarawak. Menurutnya, jika tiada keserasian, ia akan lebih senang dikesan pendengar.

“Saya bertuah digandingkan dengan Afick sebab kami sudah dua tahun bekerjasama sebelum ini dan kami memang sekepala. Keserasian ini yang menjadi kekuatan kami. Kalau tiada keserasian pasti dengan mudah pendengar boleh kesan benda itu. Tapi dengan Afick memang saya tiada masalah untuk bekerjasama sebab kami sudah tahu karakter masing-masing.

“Kami akan cuba berikan yang terbaik dan daripada respon pendengar setakat ini, mereka memberikan respon positif terhadap gandingan kami. Perkara itu menaikkan lagi semangat kami untuk buat yang terbaik,” katanya.

Segmen Pagi Era Sarawak mendapat tajaan daripada Digi ini akan bersiaran dari Isnin hingga Jumaat dari jam 6 pagi sehingga 10 pagi. – KopiPlanet.com

Mawi Redha Lagu Tak Lagi Dimainkan Selepas…

Selebriti Aswawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi mengakui dia redha dan sudah bersedia jika ada sesetengah stesen radio tidak akan memainkan lagu-lagunya selepas dia kini bergelar penyampai radio Zayan.

Menurutnya, dia menyedari risiko itu selepas diterima bekerja di stesen radio baharu berkonsepkan gaya hidup muslim moden kontemporari.

“Itu saya dah fikir awal dah dulu, saya dah tahu itu risiko dia (bila penyanyi bergelar penyampai radio). Tak mengapa,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Mawi ditemui pada majlis pelancaran Zayan yang berlangsung di APW, Jalan Riong, Bangsar, semalam.

Menurut Mawi, bergelar penyampai radio sebenarnya adalah impiannya sejak mula menceburi bidang seni dengan menyertai program realiti Akademi Fantasia 3 (AF3).

“Saya minat dari dulu lagi bergelar penyampai radio. Masa saya masuk AF pun dulu, saya nampak ada peluang untuk itu (jadi deejay), tiada target nak jadi penyanyi sebab menyanyi sekadar hobi saya masa itu.

“Alhamdulillah pengalaman dahulu bergelar deejay di pasar raya banyak beri keyakinan pada saya sekarang untuk duduk di konti radio,” katanya lagi yang akan bersiaran dengan rakan setugas Anas Tahir menerusi segmen Salam Bros dari jam 6 hingga 10 pagi, setiap Isnin hingga Jumaat.

Selain Mawi dan Anas, Zayan yang menggunakan frenkuensi 104.9FM di Lembah Klang turut diterajui tiga deejay yang lain iaitu Raqib, Lin Ariffin dan Falyq. – KopiPlanet.com