• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Faizal Ismail Peruntuk RM500,000 Untuk Mula Hidup Baharu Di UK

Bekas penyampai radio dan pengacara terkenal, Faizal Ismail, 43, mendedahkan dia memperuntukkan sebanyak RM500,000 hasil duit simpanannya sepanjang bergelar deejay untuk memulakan kehidupan baharu di United Kingdom.

Menurut Faizal, dia akan ‘berhijrah’ ke UK selama empat tahun bagi menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Industri Kreatif dan Budaya di Universiti Cardiff, September ini.

“Saya peruntukkan lebih kurang setengah juta (RM500,000) untuk menyambung pengajian dan juga menampung kehidupan keluarga di sana. Saya tidaklah bergolok-gadai sebab memang dah ada simpanan yang dibuat ketika bekerja sebagai penyampai radio dahulu.

“Selain itu, saya turut menerima sebahagian biasiswa yang akan ditanggung pihak universiti. Tempoh masa yang diperuntukkan untuk menghabiskan pengajian dalam setahun sahaja tapi saya tidak menolak mungkin akan menetap lebih lama di sana untuk menggembangkan perniagaan makanan yang diusahakan bersama isteri,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Faizal ditemui pada majlis sambutan ulang tahun pertama program web, Dbilique kelolaannya bersama Fara Fauzana di Taman Tun Dr Ismail, Damansara semalam.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata ini, dia tidak menjadikan usianya yang sedikit berumur sebagai penghalang untuk melaksanakan impian mengejar ilmu sehingga ke peringkat tertinggi.

“Sebenarnya saya dah simpan hasrat nak sambung belajar sejak tiga tahun lalu, namun ketika itu isteri sedang mengandung anak bongsu dan hasrat itu terpaksa dilupakan seketika. Alhamdullilah, impian itu akhirnya tercapai juga dengan izin Allah.

“Saya rasa orang sekarang pun sudah lebih terbuka dan tidak hanya duduk di zon selesa sahaja sebab itu tidak menjadi masalah untuk saya bergelar pelajar lagi di usia sekarang. Saya harap langkah yang dilakukan saya dapat menjadi motivasi buat sesiapa yang ingin meneruskan pengajian,” katanya lagi.

Menurutnya, ‘penghijrahan’ diriya buat seketika ke luar negara itu turut akan disertai isteri serta keempat-empat orang anaknya.

“Anak-anak akan bersekolah di sana, sekurang-kurangnya mereka mendapat pengalaman dan pendedahan baharu yang mungkin tidak dirasai di negara sendiri.

“Cuma anak sulung sahaja yang akan berlepas ke UK selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala yang lain-lain akan ikut saya bertolak pada awal bulan September ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Faizal turut menjelaskan Dbillique akan terus bersiaran seperti biasa dan dia akan membawakan pelbagai kandungan menarik dari UK untuk tontonan peminat program itu. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend