• FOLLOW US

Memasuki Usia Setahun, dBilique Anjur Program Uni Tour Bantu Golongan Belia

Menjangkau usia setahun, program digital dBilique kelolaaan dua bekas penyampai radio popular, Faizal Ismail dan Fara Fauzana akan memperkenalkan kandungan baharu yang bakal membuatkan penonton lebih teruja.

Salah seorang pengasas dBilique, Kartini Arifin berkata, ia merupakan tahun yang menggembirakan buat dirinya serta selesa dengan peranan selain ia memberi pendedahan baharu kepadanya.

“dBilique telah memperkenalkan slot utamanya seperti Artis Masuk Bilique, Masaklah Aku, Traveloque Destinasi Biliqu dan Biz Buddy Bilique yang mendapat tontonan tinggi.

“Selepas ini dBilique akan terus menggembangkan dan menawarkan kandungan serta bakat baharu,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan dBilique Setahun yang diadakan di Taman Tun Dr Ismail, Damansara, baru-baru ini.

Sementara ulang tahun itu, Faizal dan Fara akan menganjurkan program dBilique Uni Tour 2019 yang memberi manfaat kepada golongan belia.

Menurut Faizal, program berkenaan adalah inisiatif untuk memberi inspirasi kepada para pemimpin masa depan serta berkongsi pengalaman dengan mereka.

“Amat menyedihkan apabila mengetahui bahawa generasi muda kini cenderung kepada masalah kemurungan. Walaupun ramai yang menyalahkan media dalam talian sebagai pencetus kepada masalah ini, namun kami percaya bahawa media dalam talian juga boleh menjadi platform yang berkesan untuk menyebarkan elemen positif dan sokongan kepada golongan ini.

“Kami mahu dBilique menjadi platform bagi para belia kita, bukan sahaja untuk mendapatkan sokongan malah untuk memberi sokongan mereka kepada yang memerlukan. Siber buli kini semakin hangat di kalangan belia dan ia amat membimbangkan. Oleh itu, kami ingin mengambil peluang ini untuk menunjukkan kepada para pemimpin muda kita bagaimana mereka boleh menggunakan media dalam talian dengan tujuan yang baik,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ziana Zain dan Datin Alyah yang menjadi tetamu pada episod khas d’Bilique pada malam tersebut.

dBilique Uni Tour 2019 menjelajah enam institusi pengajian tinggi terpilih iaitu di Politeknik Shah Alam yang berlangsung semalam, MMU Cyberjaya (25 Julai), UniKL (15 Ogos), Uniten Bangi (22 Ogos), UiTM Shah Alam (12 September) dan UPM Serdang (19 September). – KopiPlanet.com

Faizal Ismail Peruntuk RM500,000 Untuk Mula Hidup Baharu Di UK

Bekas penyampai radio dan pengacara terkenal, Faizal Ismail, 43, mendedahkan dia memperuntukkan sebanyak RM500,000 hasil duit simpanannya sepanjang bergelar deejay untuk memulakan kehidupan baharu di United Kingdom.

Menurut Faizal, dia akan ‘berhijrah’ ke UK selama empat tahun bagi menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Industri Kreatif dan Budaya di Universiti Cardiff, September ini.

“Saya peruntukkan lebih kurang setengah juta (RM500,000) untuk menyambung pengajian dan juga menampung kehidupan keluarga di sana. Saya tidaklah bergolok-gadai sebab memang dah ada simpanan yang dibuat ketika bekerja sebagai penyampai radio dahulu.

“Selain itu, saya turut menerima sebahagian biasiswa yang akan ditanggung pihak universiti. Tempoh masa yang diperuntukkan untuk menghabiskan pengajian dalam setahun sahaja tapi saya tidak menolak mungkin akan menetap lebih lama di sana untuk menggembangkan perniagaan makanan yang diusahakan bersama isteri,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Faizal ditemui pada majlis sambutan ulang tahun pertama program web, Dbilique kelolaannya bersama Fara Fauzana di Taman Tun Dr Ismail, Damansara semalam.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata ini, dia tidak menjadikan usianya yang sedikit berumur sebagai penghalang untuk melaksanakan impian mengejar ilmu sehingga ke peringkat tertinggi.

“Sebenarnya saya dah simpan hasrat nak sambung belajar sejak tiga tahun lalu, namun ketika itu isteri sedang mengandung anak bongsu dan hasrat itu terpaksa dilupakan seketika. Alhamdullilah, impian itu akhirnya tercapai juga dengan izin Allah.

“Saya rasa orang sekarang pun sudah lebih terbuka dan tidak hanya duduk di zon selesa sahaja sebab itu tidak menjadi masalah untuk saya bergelar pelajar lagi di usia sekarang. Saya harap langkah yang dilakukan saya dapat menjadi motivasi buat sesiapa yang ingin meneruskan pengajian,” katanya lagi.

Menurutnya, ‘penghijrahan’ diriya buat seketika ke luar negara itu turut akan disertai isteri serta keempat-empat orang anaknya.

“Anak-anak akan bersekolah di sana, sekurang-kurangnya mereka mendapat pengalaman dan pendedahan baharu yang mungkin tidak dirasai di negara sendiri.

“Cuma anak sulung sahaja yang akan berlepas ke UK selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala yang lain-lain akan ikut saya bertolak pada awal bulan September ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Faizal turut menjelaskan Dbillique akan terus bersiaran seperti biasa dan dia akan membawakan pelbagai kandungan menarik dari UK untuk tontonan peminat program itu. – KopiPlanet.com

Faizal Ismail Luah Susah Nak Tambah Nilai ‘TnG’ Dekat Tol

Bekas penyampai radio popular, Faizal Ismail atau lebih dikenali dengan nama komersialnya, FBI baru-baru ini ada memuat naik satu status di laman Facebooknya.

Dalam status itu, FBI memperkatakan tentang masalah untuk membuat tambah nilai kad Touch ‘n Go di laluan tol kerana kebanyakannya sentiasa tutup dan tidak beroperasi.

Menurutnya, berpadanan dengan bayaran tol 100 peratus menggunakan sistem elektronik, ia juga sepatutnya lebih cekap dalam mengendalikan kaunter tambah nilai kad setiap pengguna lebuh raya.

“Laksanakan bayaran tol 100% elektronik. Tapi bila nak tambah nilai asyik TUTUP. Buka ikut waktu tertentu. Pengguna pulak perlu pastikan tak masuk highway masa kaunter tambah nilai tutup. Alasannya kat luar pun ada ejen-ejen top up.

“Jadi pengguna juga kena cari stesen minyak, kedai-kedai 24 jam yang selalu juga tiba-tiba OFFLINE.. haha. Kalau tak bersedia JANGAN buat.

“Bila nak buat, kena pastikan 24 jam beroperasi tambah nilai. TIADA alasan. Tenaga kerja dah kurang. Tak pun gantikan dengan kiosk macam kat Jejantas Sungai Buloh. Habis cerita. Ini tak, dah la bukan 24 jam. Bila buka lorong, satu je yang buka. Nak tambah nilai kena TAMBAH lagi masa. Sekian,” tulis personaliti berusia 42 tahun itu.

Pendapat yang ditinggalkan FBI itu nampaknya dipersetujui sesetengah netizen yang turut berkongsikan pengalaman mereka yang pernah berhadapan dengan situasi serupa.

Antaranya, Siti Farhana Samsudin menulis, “Setuju sangat. I ni dah la tiap-tiap pagi kerja lalu to. Kita penat beratur panjang lepas scan ada baki boleh cashier tu kata kalau nak topup di kiosk ye adik. Hadoooo. Aku pun terima kasih and blah pasang radio kuat-kuat sebab geram. Hahaha.”

Hazli Hussin pula berkata, “Kalau dah laksanakan gunakan Touch n Go, jangan susahkan pemandu yang lalu kalau tak cukup duit. Kebanyakan satu kaunter je untuk tambah nilai, kereta dah banyak kena beratur panjang. Kita pun ada hall jadi menyusahkan apa kata semua kaunter yang ada boleh untuk tambah nilai kalau tak cukup. Itu yang betul. Minta kaji semula supaya semua kaunter tol yang ada boleh tambah nilai baru tak menyusahkan pengguna.” – KopiPlanet.com