Filem

Kewujudan Pawagam Bebas: Antara Cabaran Dan Sokongan Masyarakat

Oleh: Onn Norshal Hamzah
(Kolumnis KopiPlanet.com)

Dalam berdepan dengan suasana pandemik ini, kita tidak boleh melupakan cabaran dan dugaan yang sedang dilalui oleh pengusaha pawagam dalam menjamin kelangsungan operasi mereka ketika ini.

Mungkin hampir kebanyakan dari pencinta pawagam di negara ini hanya mengetahui beberapa jenama pawagam terkenal dari rangkaian pawagam utama seperti Golden Screen Cinemas (GSC), Tanjung Golden Village (TGV), Lotus Five Star (LFS), MCAT Box Office (MBO) dan MMCineplex (MMC) yang menganggotai Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE).

Bagaimanapun, ramai tidak menyedari tentang kewujudan lagi beberapa rangkaian pawagam yang dikenali sebagai ‘pawagam bebas’ yang juga sebenarnya memainkan peranan penting dalam industri pawagam dalam negara.

Jumlah pawagam bebas ini dianggarkan lebih kurang 35 buah lokasi yang merangkumi beberapa pengusaha tempatan di seluruh negara. Pawagam-pawagam seperti Paragon Cinemas, Grand Cineplex, Jitra Cineplex, Cine House One City, Amerin, Superstar, Emperor Cinemas, Eastern Cineplex, Max Cinemas dan banyak lagi adalah antara rangkaian pawagam bebas di Malaysia.

Tidak jauh berbeza dengan rangkaian pawagam besar, pawagam-pawagam bebas ini juga mempunyai kapasiti dan teknologi yang sama seperti yang terdapat dalam pasaran. Hanya mungkin publisiti bagi pawagam-pawagam ini amat kurang berbanding dengan rangkaian besar.

Namun begitu, satu perkara yang perlu diketahui mengenai pawagam-pawagam ini, kewujudan mereka banyak untuk memenuhi pasaran luar bandar dan komuniti tertentu, di mana sokongan dari penonton adalah sangat baik.

Kewujudan pawagam bebas di lokasi seperti Taiping, Banting, Jitra, Sungai Petani, Langkawi, Bintulu, Sibu, Tawau, Keningau dan Lahad Datu ternyata memberikan peluang kepada masyarakat setempat untuk menikmati tayangan filem-filem hebat di pawagam.

Tatkala pengusaha rangkaian besar hanya memberikan tumpuan kepada kepada bandar-bandar utama, usaha pengusaha tempatan dalam memajukan pawagam bebas ini harus mendapat sokongan bukan sahaja dari masyarakat malah juga kerajaan.

Dalam menghadapi cabaran pasca PKP Covid-19 ini, kita sangat berharap agar pengusaha pawagam bebas ini dapat kekal meneruskan operasi dan terus menyajikan masyarakat dengan tawaran penayangan filem-filem hebat bagi memastikan industri pawagam ini terus subur.

Ini kerana jika berlaku permasalahan operasi yang menyebabkan pawagam-pawagam bebas ini tutup, kerugian besar bukan sahaja kepada pengusaha tersebut, tetapi kepada masyarakat dan industri perfileman negara secara amnya.

Oleh itu, marilah kita bersama menyokong pawagam-pawagam ini dengan ‘meramaikan’ dewan tayangan melalui filem yang ditawarkan mengikut norma dan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Hanya dengan sokongan masyarakat, kewujudan pawagam-pawagam ini akan terus subur dan pastinya ianya akan berkembang hingga di kawasan dan daerah kita. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button