• FOLLOW US
Filem, Review

Paparan Kisah Hitam Masa Lalu Jadi Plot Perkemas Filem MA

Tajuk: MA
Tarikh Tayangan: 25 Julai 2019
Durasi: 1 jam 50 minit
Genre: Misteri / Suspen
Pengarah: Tate Taylor
Pelakon: Octavia Spencer, Juliette Lewis, Luke Evans, Diana Silvers, McKaley Miller, Missi Pyle, Corey Fogelmanis, Gianni Paolo, Dante Brown
Klasifikasi: P18

Menampilkan pemenang trofi Pelakon Pembantu Terbaik Anugerah Oscar 2012, Octavia Spencer sebagai Ma adalah satu pilihan tepat kerana kehebatan aktres itu memainkan wataknya dengan baik sekali. Aura Octavia sangat terserlah lebih-lebih lagi menerusi lontaran dialog serta gerak-geri badannya yang sangat misteri untuk diterjemahkan pada awal cerita.

Perjalanan cerita bermula apabila lima sekawan termasuk Maggie yang baharu sahaja berpindah ke kawasan pinggir bandar di Ohio menyertai empat kawannya untuk curi-curi minum arak. Memandangkan masih di bawah umur, mereka meminta jasa baik orang awam di stesen minyak untuk membeli bagi pihak mereka.

Setelah gagal dalam beberapa percubaan, akhirnya muncul seorang ‘penyelamat’ mereka iaitu Sue Ann yang kelihatan cukup sporting untuk membantu mereka. Sejak daripada itu, hubungan lima sekawan itu mula rapat dengan Sue Ann yang dipanggil Ma oleh mereka. Malah Maggie dan kawan-kawannya, Andy, Haley, Chaz dan Darrel turut dijemput untuk berparti di ruang bawah rumah (basement) Ma.

Walaupun bermurah hati, Sue Ann telah menetapkan beberapa peraturan kepada mereka antaranya seorang daripada mereka tidak boleh minum sampai mabuk, tidak boleh mencarut, tidak boleh sesekali naik dan masuk ke dalam rumahnya dan mereka diwajibkan memanggil Sue Ann dengan panggilan Ma.

Kebaikan dan kemurahan hati Ma diterima baik oleh mereka namun lama-kelamaan Maggie mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan Ma. Ma mula menjadi obses dan mengekori mereka ke mana sahaja termasuk sehingga ke sekolah untuk menjemput mereka menghadiri parti di rumahnya.

Ibu Maggie, Erica yang mengetahui anaknya minum dan berparti di rumah Sue Ann kemudiannya telah mengharamkan Maggie untuk pergi ke rumah Ma dan sebagai hukuman Maggie tidak dibenarkan keluar ke mana-mana selepas tamat waktu persekolahan.

Rupa-rupanya di sebalik kebaikan Ma terselit seribu satu kisah hitam yang pernah menimpanya ketika di zaman remaja. Malah, dia menggunakan rakan-rakan remajanya sebagai umpan untuk membalas dendam di atas kesengsaraannya selama ini.

Dapatkah Ma meneruskan misinya tanpa diketahui oleh sesiapa? Jangan lupa tonton Ma arahan Tate Taylor yang kini sudah ditayangkan di pawagam bermula 25 Julai 2019. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend