TelefilemTV

Kisah Puteri Bulan & Puteri Felora Menerusi Siri Telefilem Legenda

Saluran Astro Ceria dengan berbesar hati melancarkan Legenda yang juga siri telefilem di mana watak dan jalan ceritanya diinspirasikan oleh kisah-kisah legenda dari zaman dahulukala serta puteri-puteri Nusantara.

Bagi membawa kelainan demi menyediakan kandungan yang menarik serta serba releven sebagai pembuka tirai tahun baharu ini, siri telefilem Legenda menerapkan pelbagai elemen moden dalam penceritaan, malah menjadikan tema pemerkasaan wanita antara fokus utama.

Penolong Naib Presiden Kandungan GenNext Studios Astro, Yasmin Yahya berkata, siri telefilem Legenda ini dilihat sebagai satu peluang untuk menzahirkan kisah-kisah zaman dahulu kala dan puteri-puteri Nusantara yang disajikan dalam nafas baharu, sesuai untuk santapan seisi keluarga.

“Dengan suntikan komedi dan fantasi, kami mengharapkan siri telefilem Legenda ini sedikit sebanyak dapat mencetuskan minat Gen Alpha (mereka yang lahir selepas tahun 2010) terhadap kisah-kisah legenda Nusantara, sekali gus mengabadikannya dalam sorotan kandungan kami agar ia tidak lapuk dek zaman.

“Lebih menarik lagi, pemerkasaan wanita menjadi salah satu fokus utama naskhah Legenda Puteri Bulan dan Legenda Puteri Felora ini yang mana ia mengetengahkan protagonis bersifat bijak, baik hati, tidak mudah mengalah dan berjiwa besar,” jelasnya.

Menurut Yasmin, selaku peneraju kandungan hiburan utama tanah air, pihaknya menyedari kepentingan representasi positif bagi watak wanita dalam pembikinan sesebuah karya, terutamanya kandungan yang disaksikan oleh anak-anak kecil.

Justeru itu, ujarnya watak progresif Puteri Bulan dan Puteri Felora diharapkan dapat menjadi inspirasi untuk semua, sama ada perempuan mahupun lelaki, kanak-kanak atau dewasa terutamanya dari segi keyakinan diri.

“Besar harapan kami agar siri telefilem Legenda ini dapat menimbulkan rasa minat dan ingin tahu audiens terhadap kisah-kisah dari zaman dahulukala serta puteri-puteri Nusantara.

“Ini juga inisiatif bagi kami untuk terus menghasilkan kandungan yang terbaik untuk seisi keluarga bersama-sama nikmati sebagai penguat ikatan silaturrahim,” ujarnya.

*Sinoposis Legenda Puteri Bulan

Puteri Zaleha (Uyaina Arshad) dilahirkan istimewa kerana mempunyai darah putih yang mampu menyembuhkan penyakit, lalu beliau menjadi kesayangan semua kerana usahanya untuk membantu rakyat.

Manakala adiknya, Puteri Mariam (Putri Hanan)tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dan inginkan perhatian dari kakaknya.

Apabila Puteri Zaleha menerima pinangan yang tidak boleh ditolak daripada Raja Achewah, Puteri Mariam memulakan ekspedisi untuk menyelamatkan kakaknya dan juga negaranya, Sukalangka.

Telefilem Legenda Puteri Bulan diinspirasikan daripada kisah Puteri Lindungan Bulan, dan penggambaran mengambil masa tujuh hari.

Antara lokasi yang digunakan sebagai latar telefilem ini adalah seperti Perkampungan Budaya, Taman Botani Negara, Shah Alam dan juga di Kem Isi Rimba, Kemensah.

Saksikan Legenda Puteri Bulan yang akan disiarkan pada 6 Januari ini (Rabu), jam 9 malam di Astro Ceria HD (611) dan Astro Ceria (631).

Manakala, telefilem kedua dari siri ini, Légénda Puteri Felora pula akan disiarkan pada 13 Januari (Rabu) pada waktu yang sama.

Kedua-dua telefilem ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
2
+1
7
+1
1
+1
0
+1
1
+1
2
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button