EventHiburan

Konsert EXISTS PREMIUM LIVE @PJ Ditunda ke 20 Disember 2025

EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ. Begitu nama penganjuran konsert terbaharu EXISTS — kumpulan yang dianggotai Ujang, Ajai, Musa, Along dan Ezad.

Meski sempat mengumumkan konsert tersebut bakal berlangsung pada 4 Oktober, namun selepas mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk secara teknikal, Exists dan penganjur JioBuddy mencapai kata sepakat.

Pemilihan tarikh baharu 20 Disember 2025 disifatkan relevan dengan kesepakatan yang dipersetujui Exists dan JioBuddy.

“Dengan rendah hati kami di JioBuddy menyampaikan EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ telah ditunda kepada tarikh baharu iaitu 20 Disember 2025, di lokasi dan waktu yang sama.

“Penundaan tarikh baharu ini adalah kesepakatan bersama Exists supaya penganjuran EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ bukan sekadar sebuah lagi persembahan pentas yang biasa ditonton tetapi sesuai dengan tajuk yang dibawa, ia mesti bersifat premium dan eksklusif,” ujar Sean Ng dari JioBuddy.

Buat Exists, penundaan tarikh baharu tidak menjejaskan mereka malah memberi lebih banyak ruang untuk melakukan persiapan daripada segi teknikal.

Ikrar mereka sebagai pemuzik yang cukup berpengalaman adalah melahirkan erti persembahan mewah dalam EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ yang akan menjadi konsert berskala besar terakhir mereka tahun ini.

“Tarikh 20 Disember 2025 sangat sesuai buat Exists kerana memberi kami ruang untuk memperkemaskan dan mempersiapkan semua termasuk teknikal dengan lebih baik.

“Hal ini kerana Exists sentiasa mementingkan kualiti dan menghargai setiap wang yang dikeluarkan untuk menyokong konsert kami. Kami mahu pesona mewah yang ingin disampaikan menjadi momen tidak dilupakan peminat,” ujar Along mewakili Exists.

Pemain bass, Musa pula menambah: “Exists juga mahu peminat rindu dan menjadikan EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ pada 20 Disember 2025 sebagai pesta menikmati persembahan premium kami.

”Selaku penganjur, JioBuddy juga tidak bimbang mengenai penundaan tarikh kerana percaya dengan piawaian Exists yang telah melahirkan banyak karya malar segar karya yang telah dicipta sejak akhir tahun 1991.

“Kami sedar EXISTS boleh dilihat ‘di mana-mana’ kerana permintaan terhadap kumpulan yang diasaskan di Johor Bahru ini cukup tinggi.

“Konsert mereka ‘back to back’. Secara logiknya juga, EXISTS akan memainkan lagu-lagu hit mereka sama seperti dalam kebanyakan persembahan atau konsert yang telah dilakukan.

“Bagaimanapun selaku penganjur, saya boleh memberi jaminan EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ akan bertaraf premium atau mewah seperti judul yang dipilih.

“Premium daripada segi permainan muzik, premium daripada segi audio dan premium buat peminat yang hadir kerana konsert ini bersifat lebih intim.

“Kerana itu kami bersetuju dengan tarikh baharu 20 Disember 2025 yang akan menjadi konsert penutup terbaik Exists di tahun ini,” ujar Sean Ng.

Maka untuk menikmati rasa premium yang dijanjikan penganjur dan EXISTS, peminat boleh mendapatkan tiket dalam beberapa kategori. 

Lebih mengujakan, 100 peminat bertuah akan memiliki peluang bergambar secara peribadi bersama setiap anggota EXISTS.

Tiket dengan kategori Premium (RM588), VIP (RM488) dan Diamond (RM368) boleh didapati menerusi www.jiotix.asia atau talian hotline +6011 1660 1122 (khusus untuk peminat dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) sahaja). 

Peminat yang telah membeli tiket masih sah untuk tarikh baharu. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button