EventHiburan

‘Konsert Hitam Manis’ Bakal Tampilkan Tiga Penyanyi Solo Hebat Tanah Air

Biarpun asalnya penganjur Reacch Events., berminat menganjurkan konsert untuk Dato Hattan secara solo, namun penyanyi lagu ‘Memburu Rindu’ itu lebih berminat untuk menjayakan konsert dengan rakan artis yang lain. 

Nama yang terlintas di fikiran Dato Hattan untuk bekerjasama dengannya di pentas Konsert Hitam Manis ketika itu ialah Hazama dan Black kerana mereka sudah mengenali antara satu sama lain. 

Jelas Dato Hattan, Konsert Hitam Manis yang bakal berlangsung pada 8 Februari 2025, jam 7.30 malam di Plenary Hall, KLCC itu dipilih kerana bersesuaian dengan penampilan mereka bertiga yang masing-masing berkulit hitam manis. 

“Saya kenal Hazama sejak dia menjadi juara program Akademi Fantasia (AF9) kerana waktu itu saya adalah juri. Manakala Black pula, kami pernah mengadakan konsert jelajah di Sarawak bersama. 

“Bagi saya, antara kami bertiga memang ada chemistry yang kuat dan masing-masing sudah memahami antara satu sama lain. Jadi apabila disatukan di pentas yang berskala besar ini, setiap orang tahu tanggungjawab,” kata Dato Hattan pada sidang akhbar konsert tersebut di Saloma Kuala Lumpur, baru-baru ini. 

Tambahnya, konsert anjuran Reacch Events., yang menggabungkan tiga penyanyi lelaki solo adalah sesuatu yang Istimewa kerana setiap daripada mereka ada kelebihan tersendiri. 

“Istimewanya konsert ini kita akan saksikan beberapa generasi lagu yang orang nak dengar. Lagu-lagu yang bakal kita nyanyi adalah lagu hit. Jadi saya yakin penonton akan menyanyi bersama. 

“Bagi saya kerjasama ini adalah sesuatu yang baharu kerana saya lebih kepada rock and blues. Hazama pula pop rock dan Black pula lebih kepada balada. Jadi bila digabung semua ini merupakan satu konsert yang orang tak pernah buat. Sepanjang konsert berlangsung, kita juga akan menyanyikan lagu-lagu yang kita tak pernah nyanyikan sebelum ini,” jelasnya.  

Tambah penyanyi berasal dari Negeri Sembilan itu, Konsert Hitam Manis yang bakal diiringi oleh kira-kira 10 pemuzik profesional di bawah kelolaan Pengarah Muzik Genervie Kam itu bakal menampilkan kelainan dan pasti meninggalkan kenangan manis kepada penonton. 

Ini kerana setiap daripada mereka akan mendendangkan lagu popular masing-masing selama satu jam termasuk lagu-lagu yang belum pernah mereka nyanyikan sebelum ini iaitu lagu penyanyi lain. 

Bagi Dato Hattan, 60, beliau memilih untuk mendendangkan lagu dendangan kumpulan Carefree yang penyanyinya adalah Allahyarham Jay Jay. Jelasnya, sepanjang berkarier Jay Jay banyak membantunya dan justeru itu beliau mahu mendedikasikan persembahan khas untuk penyanyi lagu “Rindu Bayangan” itu. 

“Saya pilih untuk tribute kepada abang Jay Jay kerana kebanyakan lagu yang saya rakam, dia yang main bass. Bila live show kita perform di Indonesia, abang Jay Jay main bass. Masa sekolah dulu waktu tingkatan empat saya juara Talentime, waktu itu saya nyanyi lagu Carefree.

“Arwah bukan saja seorang sahabat yang baik dan sentiasa membantu rakan artis, lagu-lagu dendangannya sejak dulu hingga kini masih diminati. Saya yakin ramai yang rindu dengan lagu-lagu nyanyiannya,” kata Dato Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabudin. 

Sementara itu, Hazama Ahmad Azmi, 40, pula berkata, sewaktu dipelawa oleh Dato Hattan untuk menjayakan Konsert Hitam Manis, beliau tidak fikir panjang terus terima.

“Apabila Dato Hattan tawar saya untuk konsert, saya rasa teruja dan tanya siapa lagi yang terlibat, dia kata Black. Saya rasa konsert ini sesuai untuk saya ada dan setuju untuk buat konsert sebegini kerana di Malaysia belum ada lagi konsert yang mengumpulkan tiga penyanyi lelaki macam ini. 

“Selain lagu-lagu popular sendiri, kita juga akan tampilkan lagu yang sesuai untuk semua golongan termasuk Gen Z, sebab itulah ada Adam Eiman yang akan rap untuk lagu “Hitam Manis”.

“Konsert ini adalah khusus untuk peminat-peminat kami kerana dalam muzik ada pelbagai golongan peminat. Untuk Konsert Hitam Manis ini kita nak fokus kepada himpunan lagu-lagu hit yang boleh dinyanyikan bersama,” kata Hazama yang popular dengan lagu “Penglipurlara”.

Ujar Hazama, mereka juga terbuka untuk mendapatkan pandangan peminat untuk pemilihan lagu yang bakal dinyanyikan kelak kerana matlamat utama mereka adalah untuk menghibur peminat yang hadir ke konsert tersebut. 

“Kalau peminat ada apa-apa cadangan untuk saya, Dato Hattan atau Black untuk nyanyikan lagu apa, sila nyatakan pandangan anda di media sosial saya atau mereka. Kami terbuka kerana pada malam itu kami betul-betul mahu menghiburkan penonton,” katanya. 

Bagi Black atau Hanifah Muhammad Hanafiah, 37, pula yang sudah lama tidak mengadakan persembahan berskala besar, melahirkan rasa gembira apabila namanya dipilih untuk menjayakan Konsert Hitam Manis. 

Katanya, sebelum ini memang ada tawaran untuk mengadakan konsert tetapi terpaksa ditolak kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan. 

“Secara peribadi saya sudah lama tidak boleh menyanyi dengan baik. Kali ini selepas saya menjalani pembedahan, suara saya dah kembali kepada asal seperti usia 23 tahun dulu. Apabila suara saya sudah pulih, itu yang saya bersemangat untuk menyanyi 10 lagu untuk konsert ini. 

“Saya mahu semua yang hadir terhibur dengan persembahan kami, jadi kena pilih lagu yang betul-betul penonton suka. Selain peminat yang mengenali saya sejak program Mentor, mungkin ada peminat baharu di kalangan Gen Z yang bakal hadir,” katanya. 

Bagi yang ingin menonton Konsert Hitam Manis boleh dapatkan tiket berharga RM988 (VVIP), RM 688 (VIP), RM588 (Diamond), RM488 (Platinum), RM388 (Gold), RM228 (Silver) dan RM198 (Bronze) di laman sesawang https://ticket2u.com.my/hitammanis. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button