Cerita ArtisHiburan

Korbankan Duit Rawatan IVF Demi Sebuah Album Nyata Berbaloi, Hazama Dapat Lima Pencalonan Di AIM 24

Penyanyi popular, Hazama mendedahkan dia dan isterinya, Genervie Kam bersepakat menggunakan wang untuk rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) ketika menghasilkan album Pujangga.

Hazama berkata, ternyata keputusan yang dibuat itu cukup berbaloi apabila Pujangga mendapat lima pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik 24 (AIM 24).

“Selain mendapat dana, duit yang saya guna untuk hasilkan album itu asalnya untuk rawatan IVF. Cuma bila difikirkan bukan selalu dapat peluang untuk buat album.

“Saya anggap album ini adalah ‘baby’ dan ini adalah satu pengorbanan yang begitu bermakna dan gembira dengan pencalonan yang diterima,” ujarnya.

Hazama berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pengumuman Top 5 bagi setiap kategori yang dipertandingkan di AIM 24 semalam.

Dalam saingan AIM 24, Hazama tercalon dalam kategori Vokal Lelaki Terbaik menerusi lagu Mendonan dan bakal bersaing dengan Akim Ahmad (Saksama), Amir Masdi (Sengaja), Hafiz Suip (Terus Bersinar) dan Ryenald Guntabid (Lumangad Oku Dika).

Lebih menarik lagi, tiga buah lagu penyanyi berkenaan yang terkandung dalam album Pujangga iaitu Aku Ada, Rembulan & Pungguk dan Semacam Pandora tercalon bagi kategori lagu Rock Terbaik.

Pada masa sama, Hazama menyatakan pencalonan dalam AIM 24 juga memberi keyakinan buat dirinya untuk terus berkarya termasuk menghasilkan lagu-lagu baharu buat penyanyi lain. 

“Pengiktirafan ini tidak hanya membuatkan saya bersemangat, tetapi lebih yakin untuk terbitkan lagu pada masa akan datang. Mungkin juga ada yang berminat minta lagu selepas ini, saya akan teruskan. 

“Kalau boleh saya mahu kongsi lebih banyak karya dengan orang lain. Harap penyanyi lain juga akan yakin untuk bekerjasama dengan saya,” ujarnya.

Selain itu, Pujangga turut tercalon dalam kategori Rakaman Album Terbaik, manakala sebuah lagu nyanyiannya bersama Noraniza Idris berjudul Penawar Kata dicalonkan dalam kategori Lagu Tradisional Terbaik.

AIM 24 bakal berlangsung pada 13 September ini di Arena of Stars Genting Highlands, Pahang dan bersiaran secara langsung di saluran RTM. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button