Ada lagu yang mengingatkan kita kepada seseorang. Ada pula yang membawa kembali cerita zaman sekolah, cinta pertama atau saat tertentu yang masih melekat dalam ingatan.
Bagi peminat Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ, kenangan itu bakal mendapat ruang untuk dihidupkan semula apabila ketiga-tiga diva Indonesia berkenaan kembali berkongsi pentas di Malaysia menerusi 3DIVA LIVE IN MALAYSIA 2026 [TIMELESS].
Selepas penantian 19 tahun untuk sebuah konsert bersama di negara ini, pertemuan pada 22 November 2026, jam 5.00 petang di Unifi Arena, Kuala Lumpur bukan sekadar membawa kembali lagu-lagu yang pernah menjadi siulan, malah mahu menemukan semula 3DIVA dengan generasi pendengar yang membesar bersama muzik mereka.
Kali ini, peminat lama juga berpeluang membawa pasangan dan anak-anak untuk mengenali tiga suara yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup mereka.
MAHU DENGAR SATU ARENA MENYANYI BERSAMA
Bagi 3DIVA, antara momen yang paling dinantikan apabila kembali ke Malaysia ialah mendengar suara penonton bergabung dengan nyanyian mereka dari atas pentas.
“Salah satunya, bagi saya, ialah dapat menyanyi bersama mereka yang datang menonton dan bernostalgia bersama kami bertiga,” kata Titi DJ.
Dengan katalog lagu yang luas daripada tiga kerjaya solo, pemilihan lagu menjadi antara elemen penting dalam menyediakan persembahan TIMELESS khususnya untuk penonton Malaysia.
“Daripada begitu banyak lagu hit masing-masing, kami perlu benar-benar memilih lagu yang dapat menyentuh hati masyarakat Malaysia,” kata Ruth Sahanaya.
Setiap lagu membawa kemungkinan kenangan yang berbeza. Lagu yang pernah didengar ketika remaja mungkin kini dinikmati bersama pasangan, sahabat lama atau anak-anak sendiri.
TIMELESS memberi ruang untuk pengalaman itu dirasai semula, kali ini dengan Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ berada di pentas yang sama.
NOSTALGIA DIBERI NAFAS BAHARU
Walaupun nostalgia menjadi antara kekuatan utama konsert, 3DIVA tidak mahu sekadar mengulangi apa yang pernah dipersembahkan hampir dua dekad lalu.
Persediaan TIMELESS turut memberi perhatian kepada susunan muzik baharu, penglibatan pemuzik muda serta penerokaan warna muzik berbeza bagi menyegarkan lagu-lagu yang sudah begitu dikenali peminat.
Dengan tiga penyanyi yang mempunyai karakter vokal tersendiri, persembahan bersama turut menuntut keserasian dalam pembahagian vokal, harmonisasi dan cara setiap lagu disampaikan.
Pengalaman berkongsi pentas selama bertahun-tahun membantu proses tersebut, namun latihan tetap menjadi ruang untuk mereka menyesuaikan diri dengan susunan baharu serta memastikan persembahan kali ini menawarkan sesuatu yang segar.
Mereka juga sedar peminat yang menunggu begitu lama pasti hadir dengan jangkaan tersendiri.
“Memang wajar apabila penonton datang dengan jangkaan. Kami perlu memikirkan bagaimana lagu yang disajikan dapat membuat mereka teruja,” kata Titi.

PEMINAT LAMA BAWA ANAK, GEN Z DIALU-ALUKAN
Selepas bertahun-tahun mengikuti perjalanan seni ketiga-tiga penyanyi itu, sebahagian peminat 3DIVA kini sudah mempunyai keluarga sendiri.
Situasi tersebut membuka peluang untuk TIMELESS menjadi sebuah pertemuan antara generasi apabila ibu bapa memperkenalkan lagu-lagu yang pernah menjadi kegemaran mereka kepada anak-anak.
“Mudah-mudahan ibu bapa mengajak anak-anak datang menonton. Mungkin mereka akan rasa ingin tahu tentang lagu yang membawa nostalgia kepada ibu mereka,” kata Titi.
Namun, 3DIVA turut menyedari setiap generasi mempunyai pilihan muzik tersendiri.
“Kami juga perlu sedar bahawa kami tidak boleh memaksa Gen Z untuk datang menonton. Pendengar utama kami ialah mereka yang membesar bersama-sama kami,” katanya.
Bagi mereka, rasa ingin tahu dan penghargaan terhadap muzik boleh menjadi antara sebab generasi muda mahu mengenali 3DIVA, biarpun tidak membesar bersama lagu-lagu mereka.
Kemunculan bakat pelapis serta karya mereka yang terus dinyanyikan semula oleh penyanyi generasi baharu juga disambut sebagai sesuatu yang positif.
“Kami gembira kerana dalam industri ini, kami mahu ada regenerasi,” kata Kris Dayanti.
KENANGAN TUN MAHATHIR MASIH BERBEKAS
Hubungan 3DIVA dengan Malaysia turut menyimpan kenangan yang melangkaui muzik.
Antara momen yang masih segar dalam ingatan mereka ialah kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad pada persembahan terdahulu di Malaysia.
“Syukur sekiranya Tun Mahathir berkesempatan datang nanti, kerana itulah antara perkara yang kami ingat. Ia menjadi kenangan yang masih meninggalkan kesan,” kata Kris Dayanti.
Ruth pula masih mengingati reaksi bekas Perdana Menteri itu yang dapat mereka lihat dari atas pentas.
“Dari atas pentas, kami dapat melihat beliau tersenyum dan menikmati persembahan,” katanya.
Kehadiran Tun Dr. Mahathir bagi konsert kali ini belum disahkan, namun kenangan tersebut memperlihatkan betapa pertemuan terdahulu 3DIVA dengan Malaysia masih dekat dalam ingatan mereka.
TIMELESS, TANDA SYUKUR MASIH DITERIMA
Di sebalik nama TIMELESS, ketiga-tiga penyanyi itu melihatnya bukan sebagai pengiktirafan yang mereka berikan kepada diri sendiri, sebaliknya sebagai tanda penghargaan kepada pendengar yang terus memberi ruang kepada mereka untuk berkarya.
“Timeless bukan bermaksud kami meninggikan diri atau mahu bersikap sombong.
“Ia sebenarnya tanda syukur dan terima kasih kerana sehingga sekarang kami bertiga masih dapat berdiri dalam industri,” kata Ruth.
Buat peminat lama, 22 November menjadi peluang untuk bertemu semula dengan suara yang pernah mengiringi perjalanan hidup mereka.
Bagi penonton generasi baharu pula, TIMELESS membuka ruang untuk mengenali sendiri mengapa nama Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ terus mempunyai tempat dalam industri muzik serantau.
Selepas 19 tahun, lagu dan kenangan itu bakal mempertemukan mereka sekali lagi, dengan peluang mencipta memori baharu bersama orang yang dibawa menonton kali ini.
TIKET KINI DIJUAL, EARLY BIRD BERMULA RM138
3DIVA LIVE IN MALAYSIA 2026 [TIMELESS] bakal berlangsung pada 22 November 2026, jam 5 petang di Unifi Arena, Kuala Lumpur.
Konsert anjuran T-Rex Studio Sdn Bhd ini turut mendapat sokongan Suria FM selaku Radio Rasmi, serta F8Buzz dan Murai.my sebagai Rakan Digital Rasmi.
Tiket kini boleh didapati menerusi MAISEAT dan Trip.com, dengan harga biasa tiket individu antara RM238 hingga RM1,098.
Promosi Early Bird bermula RM138 ditawarkan sehingga 19 September 2026 atau selagi stok masih ada.
Peminat yang mahu menikmati pengalaman bersama keluarga atau rakan-rakan pula boleh mendapatkan pakej “Semua Jadi Satu”, yang menawarkan tiket VIP pada harga RM798 setiap satu bagi pembelian minimum empat tiket. – KopiPlanet.com



