EventHiburan

Krishen Jit Fund Sumbang RM34,000 Untuk Penggiat Seni

Stesen penyiaran swasta Astro menerusi Tabung Dana Krishen Jit Astro (KJAF) telah menganugerahkan geran kepada lima penggiat seni tempatan bagi meluaskan lagi karya mereka kepada masyarakat di luar sana.

Untuk tahun ini, KJAF telah memperuntukkan sebanyak RM34,000 kepada penggiat seni yang terpilih.

Daripada 45 permohonan yang diterima tahun ini, sebanyak lima penerima geran telah dikenalpasti bagi melunaskan projek seni mereka dengan bantuan KJAF.

Mereka yang terpilih terdiri daripada Agnes Lee Agama, Anrie Too dan Kelvin Wong, Christine May Yong, Lim Pei Ern dan Ridhwan Saidi.

Projek seni mereka telah melalui tapisan lima panel yang dilantik KJAF iaitu Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Tan Sri Datuk Norliza Rofli, Penolong Naib Presiden Kanan, Tangungjawab Korporat, Hal Ehwal Masyarakat Astro, Jolyn Gasper, Penyelidik dan Penulis Skrip Universiti Sunway, Leow Puay Tin dan dua wakil Five Arts Centre, Ravi Navaratnam dan Mac Chan.

Menurut Norliza, dana ini memberikan peluang kepada penerima geran untuk terus mengangkat karya-karya seni para pengiat ini kepada peringkat tertinggi dan dikenali ramai.

“Kita dapat lihat dana ini dilabur secara terus kepada seni landskap Malaysia yang kini semakin berkembang aktif dan maju kerana dapat bekerjasama dengan penggiat seni Malaysia yang telah membawa karya-karya kreatif yang segar untuk dipaparkan di kaca TV mahupun secara langsung.

“Kami teruja kerana pihak Astro sendiri melaksanakan sebuah komitmen sebegini untuk terus menyokong industri kesenian Malaysia,” katanya pada majlis penyerahan geran yang berlangsung di Five Arts Centre, Damansara hari ini.

Sehingga ke hari ini seramai 49 penggiat seni dengan jumlah pengeluaran kini mencecah RM361,000 telah disumbangkan sejak KJAF ditubuhkan 12 tahun lalu.

Salah seorang penerima geran tahun ini, Lim Pei Ern yang menerima RM8,000 berkata, “Saya sangat gembira kerana dipilih sebagai salah seorang penerima Tabung Dana Krishen Jit, ini menunjukkan sokongannya terhadap projek Nyanyian Bumi. Ini adalah projek kolektif bersama para penari serantau melibatkan saya sendiri yang mewakili Malaysia, Aco Ridwan (Indonesia) dan Atsushi Heki (Jepun) yang berkongsi perbezaan dalam latar belakang dan budaya, menyiapkan beberapa konsep dalam tiga dimensi yang berbeza.”

“Projek ini dapat menyaksikan persamaan dalam tradisi yang dipraktikan melalui lagu, tarian, ritual dan sebagainya serta melakar inspirasi lagu-lagu tradisional Sulawesi Selatan,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Selain Pei Ern yang terlibat dengan Nyanyian Bumi, empat penerima lain seperti Christine May Yong yang menerima dana sebanyak RM5,000 ingin menubuhkan satu pusat pembelajaran untuk memperluaskan lagi persembahan dan muzik bercirikan Kelantan seperti wayang kulit.

Sementara duo Anrie Too dan Kelvin Wong yang dianugerahkan RM8,000 pula ingin membuka bengkel pengarahan untuk pengarah muda di luar sana.

Berpengalaman luas dalam bidang pengarahan teater indie, Anrie dan Kelvin akan membuka bengkel pengarahan selama setahun bagi memperkasakan pengarah-pengarah muda ini dengan karya-karya bermutu tinggi selain gaya pengarahan yang lebih segar dan menarik untuk industri seni tempatan. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button