Cerita ArtisHiburan

“Lagu Cina, India, Macam-Macam Lagi…” – Mampu Nyanyi Banyak Bahasa, Shiha Zikir Makin Laris Buat Persembahan Korporat

Penyanyi Shiha Zikir akui dia bukan jenis yang melepaskan batuk di tangga ketika membuat persembahan, tidak kira di kaca televisyen ataupun di acara-acara korporat yang eksklusif.

Menurut Shiha, apabila dia menerima tawaran untuk menjayakan sesebuah persembahan korporat, ia bermakna dia sudah memegang tanggungjawab yang besar untuk memuaskan hati semua pihak terutamanya klien.

“Syukur Alhamdulillah, saya selalu memenuhi undangan persembahan korporat sejak dulu lagi. Bagi saya, persembahan sebegini merupakan antara sumber pendapatan yang penting untuk seseorang penyanyi.

“Apabila menerima tawaran untuk buat persembahan, saya akan cuba memuaskan hati pihak klien sebaik mungkin yakni menghiburkan mereka serta tetamu yang hadir.

Menghibur itu pula bukan terikat pada menyanyi semata-mata, saya akan sentiasa berinteraksi dengan para hadirin seperti bermain game, borak-borak dan sebagainya. Bukanlah datang menyanyi kemudian ucap selamat tinggal begitu saja,” katanya.

Mengulas lanjut, selain biasa mempersembahkan lagu tradisional dan balada, Shiha sebenarnya boleh menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa. Itu pastinya menambah lagi nilai pada seorang penghibur yang berkualiti.

“Antara maklum balas yang kerap saya terima, ramai yang suka apabila saya boleh menyanyi lagu dalam pelbagai bahasa. Jika kita perhatikan pun, memang ada ramai bosses dalam sesebuah syarikat yang bukan berbangsa Melayu, malah ada yang dari Jepun, Thailand, Filipina dan pelbagai negara lain.

“Biasanya kalau diminta untuk menyanyi lagu-lagu dalam bahasa selain Melayu dan Inggeris, saya akan terus cakap boleh. Saya pun sudah belajar lagu-lagu bahasa asing sejak mula-mula datang Kuala Lumpur dulu, jadi kalau klien buat permintaan, saya okey saja. 

“Kalau dapat lagu yang saya tak pernah menyanyi sekalipun saya akan belajar untuk kuasai sebutan dan nyanyian dengan baik. Kalau nak tahu, antara lagu bahasa asing yang pernah saya nyanyikan adalah dalam Bahasa Cina (Mandarin dan Kantonis), India (Tamil dan Bollywood), Thailand, Filipina, Jepun, Korea, Sepanyol, Arab dan banyak lagi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shiha akui dia tidak pernah jemu untuk belajar perkara baharu dan sentiasa ingin menjadi penyanyi yang versatil

“Saya amat mengagumi mentor saya iaitu Allahyarham Sharifah Aini dan penghibur handalan Anita Sarawak, kalau boleh saya mahu jadi versatil seperti mereka.

“Sebab itu saya tak pernah ambil mudah apabila melibatkan soal nyanyian atau persembahan di pentas,” katanya yang baru-baru ini mempersembahkan lagu dalam Bahasa Filipina dan Thailand di empat acara sempena persidangan ASEAN.

Selain sibuk memenuhi undangan persembahan, Shiha juga semakin sibuk menguruskan perniagaan sendiri menerusi syarikat Shiha Zikir Empire (SZE) dan Shiha Zikir Nasi Ayam. 

“Mungkin masih ramai yang belum tahu, selain menyanyi saya juga menjalankan kerja-kerja selaku penganjur acara (event organizer). Pendek kata memang dari A -Z memang kami buat baik dari segi muzik, opening gambit, dekorasi dewan, kerja-kerja kreatif, semua SZE boleh buat, ” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Shiha sedang sibuk menyiapkan single terbaharu dalam genre tradisional yang turut mengetengahkan elemen silat. Lagu berkenaan dijangka menemui peminat tidak lama lagi. – KopiPlanet.com

.

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button