• FOLLOW US
Filem, Terkini

Lima Hari Tayang, Anak Perjanjian Syaitan Raih Kutipan RM1.01 Juta

Filem paling seram 2019, Anak Perjanjian Syaitan ternyata mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM1.01 juta dalam tempoh lima hari tayangan.

Penerbit Screen Studios Sdn. Bhd., Saifulhaq Anani berkata, pihaknya sendiri tidak menyangka dengan sambutan hangat yang diterima daripada penonton.

“Sudah tentu ia satu perkembangan yang positif, apatah lagi Anak Perjanjian Syaitan terpaksa bersaing dengan filem-filem besar Hollywood lain seperti Maleficent Mistress Of Evil, Terminator: Dark Fate dan Joker.

“Bagaimanapun, kami percaya dengan kekuatan jalan cerita yang ditampilkan dalam filem ini serta maklum balas positif daripada penonton,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Saifulhaq, selain promosi yang berterusan di media cetak dan elektronik, komen-komen positif penonton di media sosial turut memainkan peranan besar.

Ujarnya, biarpun Anak Perjanjian Syaitan tidak meletakkan nama-nama besar dalam barisan pelakon, namun kepercayaan penonton sangat penting.

“Saya anggap Anak Perjanjian Syaitan ini sebuah filem ‘underdog’, meskipun terpaksa bersaing dengan filem besar yang lain, kutipannya tetap memberangsangkan,” jelasnya.

Anak Perjanjian Syaitan terbitan Screen Studios Sdn. Bhd. sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura pada 24 Oktober 2019.

Filem arahan Helmi Yusof itu menampilkan barisan pelakon seperti Nadzmi Adhwa, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Azlan Komeng dan Sahronizam Noor. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend