• FOLLOW US
Filem, Review

M.O.X Filem Fiksyen Sains Beri Nafas Baharu Industri Tempatan

Tajuk: M.O.X: Misi Operasi X
Tarikh Tayangan: 21 November 2019
Durasi: 1 jam 26 minit
Genre: Aksi / Drama / Fiksyen Sains
Pengarah: Datuk Zulkifli M. Osman
Pelakon: Ebi Kornelis, Tya Arifin, Shareeta Selvaraj dan Adam Shahz.
Klasifikasi: P13

Jarang-jarang penonton kita dihidangkan dengan filem bergenre sains fiksyen seperti lambakan filem Hollywood. Atas dasar itu, pengarah filem M.O.X: Misi Operasi X, Datuk Zulkifli M. Osman terpanggil untuk mengetengahkan tema sebegitu bagi memberikan nafas baharu buat industri perfileman tempatan.

Mengakui filem ini mengambil inspirasi daripada filem James Bond serta Mat Bond, pertaruhan pengarah meletakkan Ebi Kornelis sebagai Ejen Don Pedro satu percubaan yang menjadi biarpun ini merupakan filem pertama yang memperlihatkan kemampuan Ebi sebagai teraju utama.

Pelakon Indonesia, Tya Arifin yang kini mencuba nasib di Malaysia pula menunjukkan aksi lakonan cemerlang dan percubaannya untuk bercakap Bahasa Melayu ‘KL’ menjadi dan kelihatan tidak janggal di pendengaran.

Plot filem ini cukup ringkas seperti mana filem antarabangsa lain yang menunjukkan kuasa jahat yang cuba untuk memusnahkan dunia dengan kecanggihan ‘senjata’ terbaharu mereka yang perlu dihalang oleh ejen perisik terbaik yang dilantik oleh organisasinya.

Walaupun berhadapan kekangan bajet, namun teknologi imej janaan komputer (CGI) yang diguna juga cukup baik dan tidak kelihatan seperti ‘kartun’ jika dibandingkan dengan sesetengah filem tempatan lain.

Secara keseluruhannya, M.O.X: Misi Operasi X ini mampu memberikan hiburan maksima buat anda yang menggemari filem aksi bertemakan sains fiksyen.

Filem ini mengisahkan sebuah badan perisikan yang diketuai oleh `M` manakala KFR13 pula adalah sebuah organisasi diketuai oleh Komander Moshie. KFR13 menjalankan aktiviti haram dan berkait dengan pertubuhan pengganas antarabangsa berpangkalan di Alaska, Amerika Syarikat yang sering melakukan ancaman kepada kestabilan dunia menggunakan peralatan senjata pemusnah yang canggih.

Ancaman KFR13 turut menyebabkan ejen-ejen rahsia M.O.X telah terkorban atau hilang tanpa dikesan.

Semasa melaksanakan misi rahsia di Filipina, Don Pedro menyelamatkan seorang pelajar Malaysia bernama Martias yang berjaya menggodam rancangan dan formula senjata KFR13. Semenjak itu, KFR13 mengekori Don Pedro ke mana sahaja dia pergi, termasuk Thailand, Malaysia, India dan Alaska, untuk membunuhnya dan memusnahkan bukti.

Jangan lupa saksikan M.O.X: Misi Operasi X yang bakal ditayangkan di 66 pawagam seluruh negara bermula 21 November ini. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend