EventHiburan

Mahu Elak Timbul Kontroversi, Konsert Goyang Asia Koplo Milenia Kini Ditukar Kepada Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur

Setelah timbul kontroversi gara-gara nama Konsert Goyang Asia Koplo Milenia, penganjur mengambil ceputusan untuk menukar nama persembahan mega yang menggabungkan penyanyi dangdut Malaysia dan Indonesia itu sebagai Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur.

Pengarah Projek Mission Sight Sdn. Bhd, Riezman Khuzaimi selaku penganjur berkata, penjenamaan semula konsert yang dijadualkan pada 30 September nanti tampak lebih universal serta akan menangkis stigma segelintir pihak terhadap genre ditonjolkan.

“Belum pun bermula, konsert mega yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam telah menjadi sasaran kritikan mereka yang sentiasa memiliki persepsi negatif terhadap irama dangdut.

“Jadi, untuk membuang persepsi masyarakat dan menghormati semua pihak, kami mengambil keputusan supaya Konsert Goyang Asia Koplo Milenia telah dijenamakan semula kepada Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur,” jelasnya.

Menurut Riezman, pihaknya sedar apabila ada perkataan ‘dangdut koplo’, sudah pasti ada yang menyangka kemunculan barisan penyanyi nanti disertai tarian seksi, sedangkan ia adalah tanggapan semata-mata.

Tegasnya, selaku penganjur yang bertanggungjawab, setiap penyanyi terutama dari Indonesia iaitu Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek-kelepek dan Rheyna Morena sudah diingatkan tentang garis panduan persembahan.

“Sejak awal lagi mereka tiada masalah mengikuti ketetapan dan menghormati garis panduan bukan hanya pada persembahan, bahkan meliputi penampilan pada malam tersebut.

“Sebagai penggiat seni, Mission Sight lebih teruja menonjolkan seni di dalam muzik itu sendiri tanpa membawa elemen negatif sepertinya tanggapan pihak tertentu.

“Kami hanya menjual irama dan lagu, bukan unsur negatif tarian dan gelek lucah macam tuduhan dilemparkan ketika pengumuman konsert ini,” katanya lagi.

Selain empat barisan penghibur terkemuka seberang itu, Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur turut dimantapkan kemunculan Ratu Dangdut Malaysia, Amelina selain Ani Maiyuni.

Pada masa sama, Riezman turut mengumumkan penjualan tiket harga rahmah bersempena Merdeka yang memberikan peluang peminat berhibur dengan potongan diskaun sehingga 50 peratus.

“Ini adalah konsert pertama Mission Sight yang sebelum ini berpengalaman luas dalam penganjuran acara serta festival mega.

“Kami ingin berkongsi kemeriahan dengan membuka peluang kepada lebih ramai penggemar muzik menikmati genre dangdut, selain memberi potongan 50 peratus bersempena bulan kemerdekaan.

“Harga istimewa ini turut ditawarkan kerana kami merancang mengadakan konsert untuk malam ke dua dan jika terlaksana kemungkinan artis sensasi seperti Baby Shima dan beberapa artis lain dapat tampil.

“Lebih membanggakan, konsert ini juga mungkin akan mencatat sejarah dan diabadikan dalam Malaysia Book of Records, sekiranya tiket habis terjual,” katanya.

Menariknya, konsert ini juga bakal dimeriahkan dengan Festival Muzik Milenia selama tiga hari berturut-turut di perkarangan Stadium MBSA Shah Alam bermula 29 September hingga 1 Oktober 2023.

Antara pertandingan melibatkan lima negara Malaysia, Indonesia, Singapore, Brunei dan Thailand di festival berkenaan adalah pencarian Raja dan Ratu Dangdut Asia, pertandingan tarian dan cabaran One Minutes Challenge.

Tiket mengikut zon kini boleh didapati di laman sesawang www.ticket2u.com.my yang menawarkan harga terkini bermula dari RM240 (VIP Koplo), RM134 (Asyik), RM89 (Rindu) hingga ke zon berdiri yang hanya RM50. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button