Cerita ArtisHiburan

Masih Tiada Maklum Balas Tuntutan Ganti Rugi RM281,200, Rafidah Ibrahim Bakal Berdepan Diisytihar Muflis

Tindakan penyanyi dan pelakon Rafidah Ibrahim yang masih tidak memberi sebarang maklum balas berhubung tuntutan saman oleh ahli perniagaan, Datuk Haris Embong dan syarikatnya, Arisprop Holdings Sdn. Bhd. Menyebabkannya bakal berdepan dengan risiko diisytihar muflis.

Haris berkata, sehingga kini tiada sebarang maklum balas daripada Rafidah berhubung dengan bayaran ganti rugi berjumlah RM281,200 seperti yang telah diputuskan Mahkamah Tinggi pada 31 Julai 2024.

“Sehingga kini sudah 422 hari berlalu sejak keputusan mahkamah dibuat, tetapi Rafidah masih gagal mematuhi terma pembayaran ganti rugi seperti yang diarahkan

dan firma guaman saya telah mengeluarkan notis tuntutan kedua pada Jumaat lalu dengan memberikan tempoh tujuh hari kepada Rafidah untuk mematuhi keputusan tersebut.

“Peguamcara Rafidah mengesahkan notis berkenaan telah diterima pada 22 September lalu, namun sehingga kini masih tiada sebarang pembayaran dibuat,” katanya 

Beliau berkata demikian ketika satu sidang akhbar khas yang berlangsung pada petang tadi.

Pada masa sama, Haris menegaskan bahawa tindakan yang dilakukan oleh pihak tidak ada kaitan dengan sebarang kontroversi lain yang sedang melibatkan Rafidah ketika ini.

“Tindakan yang saya lalukan ini adalah semata-mata untuk membersihkan imej saya sebagai usahawan serta menjaga nama baik syarikat, meskipun telah menunggu lebih setahun setelah diputuskan mahkamah.

“Malah, saya ingin menegaskan perkara ini tidak ada sebarang kaitan dengan mana-mana isu atau pihak, baik dari kerajaan mahupun pembangkang dan mungkin ia hanya satu kebetulan,” katanya.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili Haris, Alvin Dev Singh memberitahu pihaknya sedang menimbangkan beberapa langkah undang-undang susulan kegagalan Rafidah mematuhi keputusan mahkamah.

“Sekiranya tiada maklum balas diterima, antara tindakan yang boleh diambil termasuk mendapatkan perintah untuk menyenaraikan aset milik Rafidah atau memfailkan permohonan untuk pengisytiharan muflis terhadapnya,” jelasnya.

Untuk makluman , Rafidah telah dilantik sebagai Ketua Pemasaran secara kontrak selama dua tahun bagi mempromosikan jenama Aris Burger pada tahun 2021.

Bagaimanapun, kerjasama itu berakhir pada Ogos tahun sama dan tidak lama selepas itu Rafidah didakwa memuat naik dua hantaran di media sosial yang kemudiannya difahamkan menjadi punca saman fitnah difailkan terhadapnya.

Kemudian Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Rafidah perlu membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada Haris dan RM150,000 kepada Arisprop Holdings Sdn. Bhd. Serta turut mengarahkan bayaran faedah lima peratus setahun sehingga penyelesaian penuh dibuat, kos guaman sebanyak RM30,000 serta fi alokator RM1,200.  – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button