
Ketika ditayangkan di pawagam pada tahun 2022, filem Menjelang Magrib mendapat sambutan yang cukup baik di Indonesia dan Malaysia.
Kini, selepas tiga tahun Helroad Films kembali dengan sambungannya dengan dengan judulnya Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai.
Penerbitnya, Helfi Kardit berkata, untuk filem yang kedua dia masih mengangkat tema cerita mengenai wanita yang dipasung.
“Untuk filem yang kedua ini, saya masih konsisten dengan tema utama iaitu pasung. Meskipun filem ini akan dihasilkan dalam beberapa siri lagi, ia akan masih kekal dengan tema yang sama.
“Tema ini menjadi pilihan kerana ia cukup dekat pengalaman peribadi semasa tinggal di sebuah daerah di Sumatera, di mana saya sendiri melihat seseorang yang dipasung di sebuah rumah khas untuk menjalani rawatan,” ujarnya.
Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai berkisar tentang amalan pasung yang masih menjadi kepercayaan turun-temurun sebagai kaedah rawatan untuk mengubati masalah gangguan mental.
Ia diperkuatkan dengan barisan pelakon popular seperti Aditya Zoni, Ajeng Fauziah, Muthia Datau, Aisha Kastolan dan Aurelia Lourdes.
Bercerita lebih lanjut mengenai filem tersebut, Helfi menjelaskan ia bukanlah sambungan filem terdahulu, sebaliknya ia sebuah kisah ‘spin-off’.
Jelasnya, apa yang dipaparkan bukan setakat seram semata-mata, malah ia mengangkat isu budaya, unsur mistik dan tahayul yang bertentangan dengan pengetahuan moden, sains, serta fenomena mistik.
“Untuk filem ini, saya mengetengahkan jalan cerita yang lebih ‘dark’ (gelap) dan menyeramkan serta diselitkan dengan elemen budaya dan ketidakseimbangan kehidupan masyarakat yang berlaku ketika zaman penjajah.
“Menariknya latar filem ini juga adalah sekitar pada tahun 1920 ketika Indonesia masih lagi di bawah penjajahan Belanda atau dikenali sebagai Hindia Belanda,” ujarnya.

Helfi berkata, filem arahannya itu sudah pun ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia pada 4 September lalu dan menerima maklum balas positif dan jumlah penonton yang tinggi.
“Semasa Menjelang Maghrib ditayangkan di Malaysia tiga tahun lalu, ia mendapat sambutan hangat daripada penggemar filem seram dengan kutipan hampir mencecah RM2 juta.
“Jadi, sudah tentu saya meletakkan harapan agar filem yang kedua ini juga akan akan ditonton ramai warga Malaysia seperti yang pertama,” ujarnya.
Bagi peminat filem seram, Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 20 NOVEMBER 2025. – KopiPlanet.com



