FilemTerkini

Mood Seram Latari Muzik Video OST Anak Perjanjian Syaitan

Bagi menimbulkan mood seram, pengarah muzik video lagu runut bunyi filem Anak Perjanjian Syaitan, Ahmad Mustadha memilih kawasan hutan di Batu 20, Kuang, Selangor bagi melatari muzik video lagu Suara nyanyian Siti Nursairah Tarudin.

Menurut Mustadha, penggambaran yang mengambil masa selama enam jam itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan malah mood seram yang ingin dipaparkan berjaya diperolehi.

“Sebelum menghasilkan konsep muzik video ini saya terlebih dahulu baca sinopsis filem ini bagi menimbulkan mood seram sama agar ia membawa kesinambungan apabila penonton melihat muzik video lagu Suara ini.

“Muzik video itu kelak akan diselang-seli dengan adegan filem Anak Perjanjian Syaitan agar penonton boleh hubungkan lagu ini dengan filem tersebut. Konsep seram ini diharap dapat memberikan perasaan teruja kepada penonton sekali gus menjadi teaser kepada penonton untuk menonton filem di pawagam kelak,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada sesi penggambaran muzik video OST Anak Perjanjian Syaitan, Suara yang berlangsung di Kuang, Selangor baru-baru ini.

Dibantu dengan kekuatan seramai 12 krew produksi, penggambaran yang berlangsung dari jam 8 malam dan berakhir pada 12 tengah malam itu menjadikan sebatang pokok besar sebagai subjek utama di samping penampilan Siti Nursairah yang berpakaian persis Cik Siti Wan Kembang dalam rona maroon.

Filem Anak Perjanjian Syaitan yang diarahkan Helmi Yusof bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 24 Oktober ini. Ia dibintangi Nadzmi Adhwa, Cha Cha Maembong, Jasmin Hamid dan Badrul Muhayat.

Anak Perjanjian Syaitan mengisahkan tentang Zaidy dan isterinya, Azlinda yang sudah tujuh tahun berkahwin tetapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Mereka berdua sentiasa ditekan oleh ibu Zaidy iaitu Rahmah yang terlalu mendesak mereka untuk segera menimang cahaya mata.

Pasangan itu tinggal di rumah pusaka nenek Zaidy. Rumah pusaka yang terpencil dan menyeramkan itu dijaga oleh tukang kebun, Pak Man dan sudah tidak didiami selama lebih lima tahun.

Sejak berpindah ke rumah tersebut, Azlinda sering menerima gangguan berupa suara bayi dan kanak-kanak bermain yang sering menghantuinya sehingga dia histeria dan pengsan. Apabila dibawa ke klinik, Azlinda telah disahkan hamil oleh doktor.

Bagaimanapun, setelah disahkan hamil, Azlinda masih sering diganggu lagi, mimpi yang aneh dan perutnya yang tiba-tiba membesar secara luar biasa. Sehingga suatu hari semasa diganggu Azlinda berlari keluar dan hampir dilanggar oleh jirannya yang misteri. Apakah kesudahan filem bergenre seram ini, jangan lupa saksikan di pawagam bermula 24 Oktober ini. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button