EventHiburan

MOTAC Akan Anjurkan Program Citra Malaysia ‘Colours Of Malaysia’, Tampilkan Keunikan & Kepelbagaian Seni Budaya

Kementerian Pelancongan Seni Dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) akan menganjurkan Program Citra Malaysia “Colours of Malaysia” bagi tahun 2022.

Program Citra Malaysia ‘Colours of Malaysia’ 2022 merupakan siri persembahan yang menampilkan keunikan dan kepelbagaian dalam kesenian dan kebudayaan Malaysia. Program ini dilaksanakan secara berkala oleh Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) dari seluruh negeri. 

Tahun ini merupakan tahun ketiga penganjuran program ini, namun pada tahun 2021 pelaksanakan diadakan secara dalam talian disebabkan pandemik covid-19 yang melanda dunia dan tidak membenarkan persembahan secara fizikal dan terbuka dilaksanakan.

Sebanyak 45 siaran dengan pelbagai tema telah berjaya dilaksanakan di peringkat JKKN Ibu Pejabat dan juga JKKN Negeri dengan jumlah sebanyak 66,613 penonton yang disiarkan secara langsung di saluran Facebook Mysenibudaya JKKN.

Objektif utama penganjuran Citra Malaysia ‘Colours of Malaysia’ ini dilaksanakan adalah untuk mempamerkan kebudayaan negara melalui acara – acara yang dipersembahkan di pelbagai peringkat dalam usaha memelihara seni dan budaya dan ini secara langsung akan dapat mempromosi seni budaya Malaysia kepada masyarakat Malaysia dan pelancong luar negara. 

Selain itu juga, program ini dapat mempertingkatkan dan mengekalkan kemahiran Artis Budaya Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN). Selain dapat menerapkan dan memperkenalkan serta mendidik masyarakat akan kepentingan seni budaya, ia juga dapat menarik minat pelancong di dalam dan luar negara bagi mempromosi budaya malaysia ke negara asal mereka.

Program Colours of Malaysia ini juga menjadi salah satu elemen tarikan pelancong kerana program ini mampu memberi impak kepada industri pelancongan negara menerusi penyerlahan seni dan budaya masyarakat Malaysia dalam kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Pada tahun ini, konsep pelaksanaan Citra Malaysia “Colours of Malaysia” akan diadakan secara fizikal dan dipersembahkan oleh Artis Budaya Kumpulan Kesenian JKKN selama satu (1) jam mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa. 

Terdapat lima siri persembahan yang menampilkan persembahan asli dan authenticMalaysia dengan gabungan tarian dan muzik yang merangkumi kaum cina, india, etnik sabah dan sarawak, etnik minoriti di Malaysia serta persembahan kreasi baharu mengikut tema dan konsep. 

Selain itu, lima siri persembahan yang akan dilaksanakan mengikut tema iaitu bagi Siri 1 bertajuk “Wow Meriahnya Raya 2.0” pada 28 Mei 2022 bertempat di Dataran Foodcourt, Presint 14 Putrajaya,  Siri 2 persembahan “Akul Zapin Turasi” (Zapin Eksperimental) pada 29 Julai 2022 bertempat di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur.

Manakala Siri 3 bertajuk “Nostalgia 90an” pada 30 September 2022 bertempat di La Park Jalan Conlay, Pavillion Kuala Lumpur, Siri 4 bertajuk “Warna” (Kemeriahan Sambutan Perayaan Deepavali) pada 29 Oktober 2022 bertempat di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur dan Siri 5 bertajuk “Koleksi Inspitari” (Karya Ibu Pejabat) pada  5 November 2022 bertempat di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur.

Selain persembahan menarik dari Kumpulan Kesenian JKKN, juga menampilkan khas penyanyi terkenal Hazama, Azizzul Haqim Juara Bintang Asli Remaja Kebangsaan tahun 2008 dan persembahan Kumpulan Kesenian JKKN untuk membuat persembahan koleksi lagu-lagu raya bagi menghiburkan para penonton yang berada di Foodtruck Presint 14, Putrajaya.

Pada masa sama, para penonton sentiasa diingatkan memakai pelitup separuh muka dan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha memutuskan rantaian covid 19. 

Dalam menjayakan keseluruhan siri program Colours of Malaysia pada tahun ini, JKKN akan bekerjasama dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Persatuan Usahawan Food Truck WPKL, Persatuan Usahawan Food Truck La Park Jalan Colay, Pavillion Kuala Lumpur dan Persatuan Usahawan Food Truck Presint 14, Putrajaya.  

Lokasi-lokasi ini dipilih berdasarkan tempat tumpuan orang ramai dan pelancong terutama di Putrajaya dan Kuala Lumpur. Dengan kebenaran rentas negara yang telah dibenarkan kerajaan Malaysia secara tidak langsung akan merancakkan semula ekonomi negara melalui sektor pelancongan dengan kehadiran pelancong – pelancong tempatan dan luar negara.

Melalui penganjuran program ini orang ramai bukan sahaja dapat berhibur bahkan dapat mengenali, mempelajari serta dapat melihat dengan lebih dekat keindahan warisan seni budaya melalui pengisian persembahan yang akan persembahan nanti.

“Dengan penganjuran Program Citra Malaysia “Colours of Malaysia” yang akan dilaksanakan secara fizikal pada tahun ini, saya berharap agar orang ramai dapat memanfaatkan peluang ini untuk sama – sama hadir dan menyokong JKKN dalam usaha untuk menyemarakkan industri seni budaya negara agar terus kekal dan terpelihara”, ujar Haji Mesran Mohd Yusop, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button