
Filem seram-thriller Taiwan berjudul MUDBORN arahan pengarah terkenal Shieh Meng-Ju mencipta fenomena luar biasa sejak ditayangkan di seluruh Malaysia bermula 27 November lalu.
Dalam tempoh singkat, naskhah ini berjaya mengutip lebih RM10 juta di Taiwan, malah memecahkan rekod untuk filem seram berbahasa Mandarin di negara ini bagi tahun 2025.
Pencapaian mengagumkan itu turut mengukuhkan kedudukan MUDBORN sebagai antara filem seram Cina paling laris tahun ini, membuktikan genre seram masih mempunyai pengaruh kuat di hati penonton Malaysia.
Filem ini diinspirasikan daripada lagu kanak-kanak terkenal “Ni Wa Wa, Ni Wa Wa, Yi Ge Ni Wa Wa…” (Anak Patung Tanah Liat). Walaupun kedengaran riang, liriknya menyimpan sisi gelap yang semakin menyeramkan apabila didengar kembali sewaktu dewasa.
Antara bait yang sering diperkatakan ialah, “Matanya tidak berkelip, mulutnya tidak berkata, dia bukan anak patung sebenar…”
MUDBORN mengangkat kisah seorang pereka permainan VR bernama Hsu-Chuan, yang membawa pulang anak patung tanah liat yang sudah pecah yang ditemuinya di sebuah rumah tinggal berhantu.
Isterinya, Muhua, seorang konservator artifak yang sedang hamil, menjadi semakin obses untuk memulihkan patung itu tanpa menyedari bahawa setiap sentuhan membangkitkan sesuatu yang lebih misteri.
Sejak patung itu memasuki rumah, pasangan tersebut mula diganggu kejadian aneh yang semakin hari semakin sukar dijelaskan. Dari bisikan halus hingga perubahan tingkah laku Muhua. Malah, ketenangan rumah tangga mereka juga semakin hilang, membuatkan penonton turut merasai tekanan dan ketakutan yang menyelubungi.
Dalam keadaan semakin terdesak, Hsu-Chuan mendapatkan bantuan seorang bomoh dan psikik, Ah-Sheng yang akhirnya membongkar sejarah sumpahan tanah liat yang menakutkan itu. Tragedi silam dan dendam tidak berpenghujung antara rahsia yang menambah intensiti jalan cerita MUDBORN.

Filem ini diterajui oleh pelakon berbakat besar termasuk Yang Yo-Ning iaitu pemenang Anugerah Golden Horse, serta bintang Hong Kong Cecilia Choi, Derek Chang, Puff Kuo dan Joanne Tseng.
MUDBORN menggabungkan elemen VR, mistik tradisional, sumpahan purba dan gangguan supernatural dalam satu naskhah yang segar.
Gabungan antara dunia moden dan kepercayaan lama menjadikan filem ini mempunyai tekstur seram yang unik, bukan sekadar mengejutkan, tetapi juga membuatkan penonton terus berfikir.
Sebagai sebuah filem Taiwan, MUDBORN membawa citarasa budaya Asia Timur yang jarang dilihat dalam filem arus perdana. Reka bentuk visual, kesan bunyi yang mendebarkan serta sinematografi yang terperinci menjadikan pengalaman menontonnya lebih memuaskan.
Dengan kutipan terkini box office melepasi RM10 juta, MUDBORN membuktikan bahawa filem seram Mandarin mampu menyaingi populariti filem tempatan termasuk kejayaan filem Malaysia seperti Malam Terlarang yang turut mencatat rekod membanggakan sebelum ini.
MUDBORN bukan hanya menawarkan seram, tetapi juga pengalaman mendalam yang menggambarkan obsesi, fragiliti hubungan manusia dan ketakutan terhadap perkara yang tidak dapat dilihat.
MUDBORN kini ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia, bersedia untuk sebuah pengalaman seram yang mengusik jiwa dan meninggalkan bayangan ngeri yang sukar dilupakan. – KopiPlanet.com



