DramaTV

MYTV Kini Tampil Dengan Siri Original Pertama Menerusi Drama ‘BF Green Flag’

Aplikasi MYTV mana-mana terus memperkukuhkan peranannya dalam menawarkan kandungan hiburan berkualiti tempatan dengan memperkenalkan siri original pertama di bawah jenama MYTV Originals, berjudul BF Green Flag. 

Dengan Siri Originals sebanyak 20 episod berdurasi tujuh minit ini, ia bakal ditonton bermula 13 November, setiap hari Khamis, jam 12.00 tengah hari, eksklusif hanya di MYTV Mana Mana.

Hasil terbitan Astra Entertainment ini mempertaruhkan gandingan pertama kali antara Syazwan Razak dan Athalia sebagai teraju utama. 

Dalam siri ini, Syazwan Razak menonjol dengan lakonan yang lebih matang dan berkarakter menerusi watak Alfa, sementara Athalia, yang sebelum ini dikenali sebagai penyanyi, mencuri perhatian dengan penampilan sulungnya sebagai pelakon.

Bintang lain yang turut menghidupkan naskhah ini termasuk Azhan Rani, Dafi, Syahmie Thsa-Qeef, Amir Mirza, Khaleed Asyarief, Uchee Fukada, Iman Suhana, Dottie Syuhada, serta penampilan istimewa daripada pempengaruh popular tanah air seperti Ryan Bakery, Farihinarnia dan WanChai. 

Gabungan antara pelakon berpengalaman dan wajah-wajah baharu ini berjaya mencipta keseimbangan yang segar dan dinamik, bukan sahaja dari segi tenaga lakonan, tetapi juga dalam memperkayakan penceritaan dan sekali gus menawarkan pengalaman segar kepada penonton.

BF Green Flag menyaksikan kisah Adella yang menutup pintu hatinya untuk bercinta lagi selepas dikhianati dalam hubungan toksik. Namun takdir menemukan dia dengan Alfa, jejaka yang diperkenalkan oleh makciknya dan segalanya berubah. 

Dari curiga menjadi percaya, dari luka menjadi sembuh, BF Green Flag menyingkap perjalanan Adella mencari keberanian untuk mencintai semula bersama lelaki yang benar-benar ‘green flag’.

Bukan sekadar hiburan, siri Originals arahan Kamal Husni dan skrip oleh Faten Syamimie ini turut mengetengahkan isu kesihatan mental dalam kalangan remaja dan orang muda, khususnya kesan trauma daripada hubungan toksik. 

Jadi, naskhah ini mampu menjadi wake-up call kepada generasi muda untuk lebih sedar tentang kepentingan menjaga kesihatan mental dan mengenali tanda-tanda hubungan tidak sihat, di samping menyampaikan mesej positif tentang pentingnya kepercayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MYTV, Mohamad Helmi Harith berkata, pelancaran MYTV Originals menjadi langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem kreatif tempatan. 

“Sudah tiba masanya MYTV bukan sahaja menjadi platform penyiaran, tetapi juga pemangkin kepada kebangkitan kandungan tempatan yang lebih segar, autentik dan relevan dengan penonton masa kini. 

“Melalui BF Green Flag sebagai siri original pertama, kami ingin memberi pengalaman berbeza kepada penonton dengan menikmati karya berkualiti tinggi dan pada masa sama memperkukuh daya saing kandungan Malaysia di peringkat digital,” jelasnya.

Helmi berkata, pihaknya yakin BF Green Flag akan mendapat tempat di hati penonton, khususnya dalam kalangan generasi Gen Z, kerana kandungannya memberi tumpuan kepada mesej dan isu sosial yang dekat dengan kehidupan mereka. 

“Namun begitu, kami percaya jalan cerita dan emosi yang dipaparkan tetap relevan untuk semua lapisan penonton Malaysia, kerana ia menyentuh tema universal seperti trauma dan peluang kedua dalam kehidupan. 

“Kami harap siri MYTV Originals ini dapat diterima oleh penonton, serta mampu mencetuskan gelombang impak kepada industri kreatif tempatan,” ujarnya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Astra Entertainment, Datuk Rozaidi Baharudin berkata, sebagai penerbit pihaknya percaya setiap naskhah harus membawa nilai, bukan sekadar hiburan.

“BF Green Flag dihasilkan untuk mengetengahkan tema yang relevan dengan Gen Z seperti mengangkat isu trauma, kepercayaan dan cinta yang sihat, di samping membuka ruang kepada pelakon muda untuk menyerlah melalui penceritaan yang dekat dengan jiwa mereka,” jelasnya.

Tambah menarik, turut menampilkan lagu tema berjudul Hanya Namamu Cinta, nyanyian Dafi, yang merupakan rakaman semula daripada album pertamanya, kini diberi sentuhan baharu khas untuk siri ini. 

Versi terkini lagu ini menguatkan lagi emosi penceritaan, seiring dengan perjalanan watak-watak utama dalam mencari cinta dan menyembuh luka hati.

Saksikan siri Originals BF Green Flag eksklusif di MYTV Mana Mana, bermula 13 November, setiap hari Khamis, pukul 12.00 tengah hari. 

Ikuti akaun media sosial MYTV dan MYTV Mana Mana di semua platform sosial media untuk saksikan klip eksklusif dan info terkini. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button