Cerita ArtisHiburan

Nadeera Ukir Sejarah Manis, Wakili Malaysia Ke Pentas Pertandingan ABU Song Festival 2025

Penyanyi berbakat besar yang semakin melonjak namanya di persada seni tanah air, Nadeera, sekali lagi mengukir sejarah manis dalam kerjaya seni apabila dipilih oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk mewakili negara ke acara berprestij ABU (Asia-Pacific Broadcasting Union) Song Festival 2025 yang bakal berlangsung pada 13 September 2025 di Tsonjin Boldog, Mongolia.

Pemilihan ini bukan sahaja menjadi pencapaian penting buat Nadeera, malah turut membuktikan kepercayaan tinggi pihak RTM terhadap bakat, kemampuan serta aura bintang yang dimiliki oleh artis di bawah naungan Rocketfuel Entertainment ini.

“Bukan Lagi Kita” Diangkat Ke Pentas Serantau

Di pentas berprestij tersebut, Nadeera bakal mempersembahkan lagu hitnya “Bukan Lagi Kita”, yang melonjakkan namanya sebagai antara vokal terbaik generasinya, sekali gus memperkenalkan karya tempatan ke mata dan telinga khalayak antarabangsa.

“Pemilihan oleh pihak RTM ini merupakan satu penghormatan besar buat saya. Jujurnya saya sangat terharu apabila diberitahu bahawa saya bakal membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui ABU Song Festival 2025. Lagu ‘Bukan Lagi Kita’ sangat dekat di hati saya dan pendengar, jadi saya mahu nyanyikannya dengan seluruh jiwa, sebagai hadiah buat semua,” ujar Nadeera.

“Saya sedar di pentas ini, saya bukan sekadar Nadeera, saya adalah anak Malaysia. Setiap nota yang saya nyanyikan nanti adalah doa, harapan dan juga kebanggaan kita bersama. Insya-Allah, saya akan berikan persembahan yang terbaik,” tambahnya lagi.

Bangga Wakili Malaysia

Meskipun ini bukanlah kali pertama Nadeera menjejakkan kaki di pentas luar negara, di mana sebelum ini dia pernah membuat persembahan di Vietnam dan juga Indonesia. Namun, peluang kali ini membawa makna yang jauh lebih besar.

“Saya amat berbangga kerana dapat mewakili Malaysia di pentas dunia. Setiap kali melangkah ke luar negara, saya membawa semangat dan harapan peminat di tanah air. Kali ini, ia lebih istimewa kerana saya bakal tampil di festival berskala antarabangsa bersama artis-artis hebat dari seluruh Asia. Saya harap dapat mengharumkan nama negara dengan cara yang tersendiri,” kata Nadeera.

“Terima kasih RTM atas kepercayaan ini, Rocketfuel atas sokongan tanpa henti, pasukan produksi, pemuzik dan semua peminat yang menjadi tulang belakang saya. Doakan perjalanan ke Mongolia dipermudahkan dan persembahan nanti menyentuh hati sesiapa yang menonton,” katanya lagi.

Kata Pengurusan Rocketfuel Entertainment

“Kami amat berbangga dengan pencapaian Nadeera. Pemilihan ini membuktikan bakat vokal dan disiplin kerjayanya yang luar biasa. Kami yakin Nadeera akan mengharumkan nama Malaysia di Mongolia dan membuka lebih banyak peluang kolaborasi antarabangsa.”

Tentang ABU Song Festival

ABU Song Festival merupakan sebuah acara gala tahunan tanpa pertandingan yang dianjurkan oleh Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU). Festival ini menampilkan persembahan lagu atau instrumental oleh pemuzik dari seluruh rantau Asia. Negara-negara yang mempunyai keahlian penuh atau tambahan ABU dijemput untuk menghantar penyertaan bagi dipersembahkan secara langsung di hadapan penonton. Acara ini turut dirakam secara langsung bagi membolehkan penyiar kebangsaan menambah sari kata dalam bahasa masing-masing untuk siaran domestik. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button