GadgetGaya Hidup

Neelofa Lancar Aplikasi TheNoor, Dilengkapi Pelbagai Ciri Khas Termasuk Tafsir Al-Quran Dalam Lima Bahasa

Pengacara, pelakon dan usahawan terkenal Neelofa baru-baru ini telah melancarkan aplikasi gaya hidup Islamik perdana mereka iaitu TheNoor.

Aplikasi yang dihasilkan menerusi syarikat Noor Luminous Sdn. Bhd. dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri khas seperti waktu solat, arah kiblat, lokasi-lokasi masjid berdekatan.

Neelofa berkata, idea untuk menghasilkan aplikasi berkenaan bermula ketika dia mengerjakan ibadah haji buat kali kedua.

“Semasa mengerjakan ibadah haji, ada pihak yang datang berjumpa dengan saya dan menawarkan sebuah aplikasi yang sudah sedia ada.

“Namun begitu, apabila difikirkan adalah lebih baik untuk saya menghasilkan sendiri aplikasi sebegini,” ujarnya.

Mula dibangunkan sejak bulan Jun tahun lalu, Neelofa menyatakan terdapat pelbagai kelebihan yang ada pada aplikasi TheNoor, selain ia boleh dimuat naik secara percuma.

“Apa yang menariknya, aplikasi ini turut menawarkan fungsi tafsir al-Quran dalam lima bahasa berbeza iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil dan Bahasa Indonesia.

“Selain itu, ia juga boleh menjadi platform untuk urusan bayaran zakat online, wasiat, urusan umrah dan haji serta e-commerce untuk produk-produk Islamik,” jelasnya.

Memilih untuk meneroka bidang pembangunan digital sebagai cabang bisnes baharu, Neelofa selaku Ketua Pegawai Eksekutif Noor Luminous Sdn. Bhd. berkata, aplikasi TheNoor merupakan aplikasi semua-dalam-satu (All In One) yang mampu memenuhi keperluan gaya hidup muslim di seluruh dunia.

“Kita tidak boleh nafikan tentang kerancakan pembangunan platform-platform digital sejak kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran pelbagai peranti pintar dengan sambungan internet di hujung jari. Segala keperluan maklumat dapat diakses dengan cepat.

“Selain menggalakkan orang ramai untuk lebih celik IT, pembangunan aplikasi TheNoor yang dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik untuk kaum muslimin ini juga dapat menjadi ‘pembantu’ maya untuk kita melaksanakan tugas harian dengan mudah dan cepat.

“Sebagai contoh, bahagian tafsir al-Quran didatangkan dengan lima bahasa termasuk tiga bahasa utama di Malaysia. Kami juga merancang untuk menambah bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Turki, Perancis, Spanyol, Urdu dan Hindi pada masa akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Noor Luminous Sdn. Bhd., Ahmad Tajuddin Idris berkata, aplikasi TheNoor juga bakal menjadi platform sehenti perniagaan dalam talian yang menawarkan pelbagai produk dan servis yang menepati Syariah.

“Kami merancang untuk memperkenalkan fungsi wasiat dan faraid yang membolehkan pengguna untuk mengelolakan wasiat mereka menerusi aplikasi TheNoor mengikut undang-undang Syariah.

“Selain itu, kami juga bakal melancarkan kad keistimewaan terhad yang membolehkan pengguna untuk membeli produk Takaful menerusi kerjasama dengan rakan kongsi seperti Zurich Takaful dan Etiqa Takaful.

“Sejajar dengan perkembangan jualan atas talian dan galakan pembayaran tanpa tunai, kami turut akan memperkenalkan dompet digital (e-wallet) yang hadir dengan fungsi Kad Prabayar Visa menerusi Fasspay, yang kini sedang menanti kelulusan daripada Bank Negara Malaysia,” katanya.

Selain Neelofa dan Tajuddin, Noor Luminous Sdn. Bhd. turut diterajui oleh Ketua Pegawai Teknologi Mohd. Izzairi Yamin.

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
1
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button