Cerita ArtisHiburan

Neelofa Rancang Mahu Lebarkan Sayap Ke Indonesia Tahun Hadapan

Pengacara popular Neelofa menyatakan dia sudah mempunyai perancangan untuk melebarkan sayap kerjayanya di Indonesia pada tahun hadapan.

Neelofa berkata, perkara tersebut sudah lama dalam perancangannya dan baru kali ini keputusan dapat dibuat setelah tidak lagi terbabit dengan MeleTOP.

“Pada bulan Januari nanti saya akan ke sana untuk mengadakan mesyuarat dengan beberapa pihak. Kalau semuanya berjalan lancar, saya akan tinggal di sana buat seketika.

“Mulanya saya sasarkan untuk menjadi pengacara, tetapi atas nasihat pihak di sana yang telah mengatur segala perancangan, mungkin saya akan bermula dengan filem,” jelasnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui media sebaik sahaja selesai program siaran langsung MeleTOP yang berlangsung di Astro Bukit Jalil semalam.

Menerusi program berkenaan Neelofa mengumumkan pengundurannya daripada program tersebut setelah lapan musim menjadi pengacara bersama Nabil Ahmad dan akan berakhir pada 31 Disember ini.

Jelasnya, perancangan untuk melebarkan sayap di negara seberang belum sah sepenuhnya memandangkan mahu membuat perbincangan lebih lanjut.

“Kalau boleh saya nak susun semuanya betul-betul dan tidak mahu main redah sahaja supaya tidak tersilap langkah. Lagipun saya sudah ada connection dengan orang di sana dan mahu bersungguh-sungguh dengan apa yang telah dirancang.

“Bagi saya ini merupakan satu lembaran yang baru dan mahu mencuba sesuatu yang sesuai. Malah, saya akan bergerak sendiri tanpa bernaung dengan mana-mana syarikat pengurusan di sana,” ujarnya.

Dalam pada itu, Neelofa turut mengumumkan dia bakal terbabit dengan sebuah program baharu terbitan Astro yang akan diumumkan nanti. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button