Cerita ArtisHiburan

Lan Solo Hasilkan Berpisah Tanpa Rela Selepas Disingkir Kristal

Penyanyi Lan Solo menyatakan single terbaharu, Berpisah Tanpa Rela dihasilkan selepas dia disingkirkan oleh bandnya sendiri iaitu Kristal.

Lan berkata, dia cuba menghasilkan sebuah lagu tentang percintaan yang biasa, namun tidak menafikan mereka yang mendengarnya akan cuba mengaitkan dengan peristiwa yang berlaku terhadap dirinya sebelum ini.

“Kalau berkata tentang ‘perpisahan’ itu, saya tak boleh tipu. Namun terpulanglah kepada pendengar kerana apa yang boleh dikatakan, saya dah move on dengan perkara tersebut.

“Cuma sesekali teringat benda yang lama bukanlah satu kesalahan. Misalnya, kalau kita bercinta dan berpisah, adalah sesuatu yang normal kalau teringat kekasih lama,” jelasnya.

Lan berkata demikian ketika ditemui KopiPlanet.com semasa majlis pelancaran single baharu Berpisah Tanpa Rela yang berlangsung semalam.

Lan sebelum ini telah disingkirkan oleh Kristal setelah menyertai program realiti Gegar Vaganza 4 (GV 4) tanpa mendapat persetujuan ahli band yang lain.

Dalam program berkenaan, Lan kemudiannya menggunakan nama Lan Solo dan berjaya mendapat tempat ketiga.

Menurut Lan, sebelum ini dia ada mendapat beberapa lagu daripada komposer lain. Bagaimanapun, lagu-lagu yang diterimanya itu tidak kena dengan jiwanya.

“Apabila bergerak solo saya perlukan sesuatu lagu yang ikut jiwa saya. Jadi, pengurus saya bagi cadangan supaya hasilkan sendiri lagu untuk single baharu,” jelasnya yang mengambil masa selama sebulan untuk menghasilkan Berpisah Tanpa Rela.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada dia mempunyai keinginan untuk kembali bersama Kristal, Lan menyatakan dia lebih selesa untuk bergerak solo sahaja.

“Kalau nak wujudkan sebuah band yang baru sekarang ini, rasanya mungkin tidak. Cuma saya tidak menolak untuk beraksi bersama band lain sekiranya ia membabitkan projek khas,” jelasnya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button