
Noh Salleh Bakal Kembali Bergelar Suami, Akan Bernikah Pada 23 September Ini
Setelah empat bulan mengikat tali pertunangan, penyanyi popular Noh Salleh, bakal mendirikan rumah tangga pada 23 September ini dengan pasangannya, Fatin Athira Mustapa.
Kedua-duanya bakal disatukan pada majlis pernikahan yang akan berlangsung pada sebelah pagi, dan majlis resepsi pula pada sebelah malam hari yang sama.
Kad undangan perkahwinan secara digital vokalis kumpulan Hujan itu dengan wanita berusia 30 tahun berkenaan kini sudah diedarkan kepada saudara mara dan kenalan terdekat.
Sebelum ini, majlis pertunangan pasangan tersebut telah diadakan di kediaman Fatin pada 7 Mei lalu yang terletak di Putra Heights, Subang Jaya.
Pada majlis tersebut, Fatin memilih persalinan rona hitam, manakala Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh turut mengenakan baju Melayu warna senada.
Untuk rekod, Fatin Athira merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor dan kini berkhidmat sebagai seorang peguam.
Apa yang menariknya, Fatin difahamkan turut meminati muzik selain mempunyai kebolehan bermain alat muzik seperti gitar dan menyanyi.
Noh yang juga vokalis kumpulan Hujan itu pernah mendirikan rumahtangga dengan penyanyi, Mizz Nina atau Shazrina Azman, 40, pada 2 Julai 2011, namun bercerai awal Ogos tahun lalu. – KopiPlanet.com



