• FOLLOW US
Filem, Trailer

Novel Popular Jibam Ke Layar Perak

Tidak dinafikan, novel berjudul Jibam yang dihasilkan oleh kartunis Ujang atau Ibrahim Anon merupakan antara novel yang cukup popular suatu ketika dahulu.

Menariknya buat mereka yang menggemari novel berkenaan, akhirnya karya kartunis popular berkenaan telah diadaptasi ke layar perak.

Diterbitkan oleh Spektra Selasih Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh pengarah Che Mie, ia bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 7 Disember 2017 sempena cuti sekolah.

Filem Jibam mengisahkan tentang seorang kanak-kanak istimewa iaitu Ashraf atau Jibam yang sedikit lembab akal fikirannya, namun jibam mempuyai keistimewaan yang tersembunyi.

Dia mewarisi kepandaian bapanya, Suman untuk mengubati penyakit. Suman mati terbunuh dalam hutan dan kematiannya sungguh misteri. Selain itu, turut diketengahkan tentang Tok Ngah Sudin yang mempunyai sikap sangat benci terhadap Jibam.

Pada masa sama, Jibam juga dibenci Usin Singai dan kemuncaknya apabila basikal tuanya dicat warna biru oleh Jibam. Hinggakan ayam dalam rebannya pun biru dikerjakan Jibam.

Che Mie (kiri) dan Ujang sama-sama terlibat dalam pembikinan filem Ujang yang akan ditayangkan di pawagam pada 7 Disember ini.

Pengarah filem Jibam, Che Mie memberitahu bahawa penggambaran filem arahannya itu telah dilakukan pada bulan Februari 2016 di Sungai Lembing, Pahang.

“Boleh dikatakan sepanjang penggambaran filem ini berlangsung, semuanya berjalan dengan lancar dan seperti yang telah dirancangkan.

“Bagaimanapun, untuk pengetahuan semua cabaran untuk menghasilkan filem ini sebenarnya sudah bermula sejak sebelum penggambaran dibuat,” jelasnya.

Che Mie berkata, antara salah satu cabaran paling besar ialah untuk memilih pelakon utama kanak-kanak yang membawakan watak Jibam.

Pelakon kanak-kanak Ariff Abdullah telah diberi tanggungjawab untuk menggalas watak sebagai Jibam.

Selain itu, ujarnya memandangkan Jibam adalah merupakan filem pertama arahannya, mengadaptasi sebuah novel menjadi karya filem juga menjadi cabaran buat dirinya.

“Saya terpaksa membaca novel ini berkali-kali supaya jalan cerita yang diambil dapat divisualkan dengan apa yang telah ditulis oleh Ujang dalam novelnya.

Menurut Che Mie, sesuatu yang menarik mengenai filem Jibam ini apabila pelakon kanak-kanak iaitu Mohd. Ariff Abdullah telah diangkat sebagai teraju utama dalam filem ini.

Diberi peranan sebagai Jibam, Ariff yang merupakan seorang pelakon kanak-kanak istimewa sebelum ini cukup terkenal dengan watak sebagai Buntat dalam sebuah drama.

“Untuk filem ini saya terpaksa mencari seorang guru untuk mengajar teknik lakonan kepada Ariff (Jibam). Saya lakukan ini supaya Ariff dapat menjiwai watak Jibam dengan baik memandangkan ini kali pertama dia berlakon filem,” jelasnya.

Selain Ariff, antara barisan pelakon popular lain yang turut membintangi filem berkenaan seperti Syafie Naswip, Esma Danial, Fadlan Hazim, Mia Ahmad, Bohari Ibrahim, Kazar Saisi dan Kamarool Hj. Yusoff. – KopiPlanet.com

 

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend