Cerita ArtisHiburan

Oja Pernah Dua Kali Tolak Tawaran Sertai Gegar Vaganza 7

Penyanyi Oja atau Daninas Huza Daud mendedahkan dia pernah dua kali menolak untuk menyertai program realiti Gegar Vaganza 7 (GV7) biarpun mendapat sokongan daripada mereka yang rapat dengan dirinya, sehinggalah dia menerimanya pada tawaran yang ketiga.

Oja berkata, pada mulanya dia menolak untuk menyertai GV7 kerana berasakan belum bersedia dan tiada keyakinan untuk bersaing dalam sebuah pertandingan yang besar.

“Pada awal tahun ini memang ada tawaran dan sebenarnya ini merupakan tawaran yang ketiga. Untuk dua tawaran sebelum ini memang saya tolak dan untuk kali ketiga dah ada gerak hati bahawa mungkin ini peluang saya.

“Kemudian saya bertanyakan pandangan ahli keluarga termasuk isteri dan mereka memberikan sokongan yang padu. Akhirnya saya terima setelah memikirkan ia juga penting dalam kerjaya saya,” jelasnya.

Oja berkata demikian ketika ditemui semasa majlis memperkenalkan barisan peserta GV7 yang berlangsung baru-baru ini.

Ketika ditanya apa yang dilakukan setelah tidak lagi bergiat aktif sejak akhir 90-an, Oja memberitahu dia banyak menyanyi di kelab serta menubuhkan sebuah band, di mana dia bertindak sebagai gitaris.

> Baca: Molek Lagu Tanda Apresiasi Salammusik Terhadap Kaum Hawa

Menurutnya, pada masa sama juga dia turut membuka sebuah studio rakaman yang terletak di Danau Kota dan melakukan kerja-kerja susunan muzik untuk lagu beberapa penyanyi.

“Sebenarnya sebelum ini memang ada hasrat untuk menyertai GV, tetapi keyakinan tu belum ada lagi sebab ia sebuah program besar yang memerlukan mental dan fizikal yang kuat.

“Kini setelah merasakan ada kekuatan barulah saya terima. Mengenai cabaran pula, saya rasa tiada masalah untuk menyanyikan apa sahaja genre lagu untuk pertandingan ini nanti,” ujarnya.

Sepanjang dua dekad berjuang dalam muzik, Oja yang pernah popular dengan lagu Dasira pernah merakamkan tiga buah album, yang mana album terakhirnya berjudul Kerangka pada 1996 ketika berusia 14 tahun.

Selain itu, Oja sebenarnya merupakan anak saudara penyanyi Mastura Ali yang berduet dengan Ally Noor dan popular dengan lagu-kagu loghat Negeri Sembilan seperti Apo Kono Eh Jang, Alahai Anak Omak dan Apo Nak Buek Jang. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
1

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button