• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Parodi Nur 2 Bawa Tuah, Shuk Hargai Pertolongan Jihan, Azhan Rani

Sketsa parodi drama Nur 2 nyata membawa tuah buat pelawak dan penyampai radio Hot FM, Shuk apabila dia berjaya dinobatkan sebagai juara program Bintang Bersama Bintang 2019 (BBB 2019).

Menerusi kemenangan itu, Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 32, berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.

Ketika diminta mengulas mengenai kemenangannya itu, Shuk menzahirkan penghargaannya terhadap aksi cemerlang yang ditonjolkan oleh dua bintang jemputannya, Jihan Muse dan Azhan Rani.

Menurut Shuk, dia sudah lama menyimpan hasrat mahu menjemput Jihan dalam persembahan yang dijayakannya dan akhirnya ia membawa tuah apabila Ratu Parodi akhirnya bersetuju bergandingan dengannya menerusi pentas akhir itu.

“Sebenarnya dari tahun lepas lagi saya nak jemput Jihan, tetapi memandangkan dia sedang berpantang pada ketika itu, hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan. Akhirnya pada tahun ini saya dapat juga khidmatnya dan idea ini kami sama-sama fikirkan iaitu untuk parodikan drama Nur 2.

“Selain itu, kehadiran Azhan Rani turut membantu persembahan saya memandangkan drama Nur 2 masih lagi hangat diperkatakan. Saya berterima kasih kepada Jihan dan Azhan kerana mereka memainkan peranan penting dalam persembahan saya di pentas akhir,” katanya kepada KopiPlanet.com sebaik dinobatkan sebagai juara Bintang Bersama Bintang 2019.

Pertandingan akhir yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam itu turut disertai empat peserta lain iaitu Achey, Sharif Zero, Chiwan dan Mamak Puteh.

Menyifatkan kemenangannya itu sebagai rezeki anak keduanya yang bakal dilahirkan pada bulan Julai ini, Shuk menyimpan impian ingin membawa keluarganya menunaikan umrah pada tahun ini.

“Saya betul-betul tumpang rezeki anak kedua yang bakal dilahirkan tidak lama lagi. Saya merancang untuk bawa keluarga menunaikan umrah hasil daripada kejayaan ini,” katanya lagi.

Pertandingan akhir BBB 2019 diadili dua juri tetap iaitu Saiful Apek dan Mark Adam yang mewakili 60 peratus pemarkahan manakala selebihnya melalui undian peminat iaitu sebanyak 40 peratus.

Selain Jihan dan Azhan, antara bintang jemputan yang turut menjayakan sketsa enam minit itu ialah Datuk Afdlin Shauki, Black, Heliza Helmi dan Fikry Ibrahim.

Rancangan itu dihoskan Elly Mazlein dan disiarkan secara langsung setiap hari Ahad di TV3, jam 9 malam selama lapan minggu. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Jihan Muse

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend