Cerita ArtisHiburan

Pegang Watak Wanita Khunsa, Jasmine Suraya Tak Sangka Filem Lakonannya Wakili Malaysia Ke Oscar Ke-98

Pelakon Jasmine Suraya tidak menyangka apabila filem lakonannya berjudul Pavane for an Infant dipilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-98 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), tahun depan.

Jasmine berkata, pemilihan filem arahan Chong Keat Aun itu menjadi momen yang amat menggembirakan buat dirinya serta seluruh tenaga produksi yang terlibat.

“Pada awalnya memang terkejut sebab tak sangka filem ini dipilih. Lagipun tahun ini banyak filem Malaysia yang gempak tetapi Pavane for an Infant terpilih antara yang terbaik.

“Saya sangat terharu dan gembira sebab ini kali pertama saya terlibat dalam filem yang mewakili Malaysia ke Oscar.

“Saya boleh katakan ini antara impian terbesar yang berjaya saya capai. Saya harap kejayaan ini membuka ruang kepada lebih banyak karya tempatan untuk diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut Jasmine, kejayaan filem itu bukan diukur melalui nilai komersial semata-mata, sebaliknya kekuatan penceritaan dan pendekatan sinematografi yang jujur menjadi kunci utama.

Jasmine juga berbangga apabila naskhah terbitan Janji Pictures Production Sdn Bhd itu sudah terlebih dahulu mencipta nama di festival antarabangsa seperti Festival Filem New York Asia Ke-24 serta Festival Filem Golden Horse Taipei yang disifatkan sebagai ‘versi Oscar’ bagi dunia sinema China, Hong Kong dan Taiwan.

“Ini merupakan permulaan yang baik dan peringatan kepada kita semua bahawa jalan cerita yang menyentuh jiwa tetap penting. 

“Filem ini bukanlah karya arus perdana yang menjadi pilihan ramai, tetapi nilai seni dan kemanusiaannya cukup kuat,” katanya.

Ditanya mengenai karakter yang dijayakan dalam filem itu, Jasmine berkata dia membawakan watak wanita yang dilahirkan sebagai khunsa bernama Nurul.

Katanya cabaran utama menjayakan watak itu bukan sekadar daripada segi lakonan fizikal, tetapi bagaimana untuk memahami konflik dalaman yang dihadapi Nurul.

“Nurul dilahirkan dengan dua jantina tetapi ayahnya memilih untuk membesarkannya sebagai wanita. Jadi dia membesar dengan perasaan malu dan keliru sebab hak untuk memilih jantina sendiri diambil orang lain.

“Saya cuba faham apa rasanya bila seseorang kehilangan kebebasan untuk menentukan siapa dirinya. Daripada situ datanglah rasa kosong, marah dan sedih yang saya bawa ke dalam lakonan.

“Dalam filem ini saya mendapat bantuan daripada pelakon senior, Ida Nerina yang bertindak sebagai guru lakonan. Saya juga belajar menunggang motosikal dan pergi ke set penggambaran seorang diri supaya saya betul-betul faham hidup Nurul yang berasal dari latar B40,” katanya.

Selain Jasmine, filem yang ditayangkan pada Ogos lalu turut dibintangi Fish Liew, Natalie Hsu, Ben Yuen dan ramai lagi.

Pavane for an Infant mengisahkan Lai Sum yang bertugas di sebuah pusat perlindungan bayi. Dia membantu seorang remaja perempuan yang hamil bawah umur, berdepan dilema menggugurkan kandungan.

Namun, tindakan itu akhirnya menyeret mereka dalam perjuangan getir menentang kekuasaan patriarki dan tekanan keagamaan, lalu mengancam keselamatan dan maruah diri. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button