FilemTerkini

Peluang Tonton Filem Gayong Versi Director’s Cut Di Pawagam Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-68 & Hari Malaysia

Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-68 serta Hari Malaysia, syarikat produksi SOL Pictures Sdn. Bhd. serta pengedar Empire Film Solution dengan kerjasama TGV Cinemas bakal menayangkan semula filem Gayong bermula pada 28 Ogos hingga 17 September ini.

Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip berkata, inisiatif ini dilakukan bagi menyemarakkan lagi sambutan kedua-dua hari bersejarah berkenaan dengan menayangkan semula sebuah filem yang membangkitkan semangat, perpaduan dan jati diri.

“Ketika ditayangkan sebelum ini, Gayong mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penonton. Namun, tidak dinafikan masih ramai yang terlepas untuk menontonnya dan kini kami membuka semula peluang kepada mereka yang mahu menonton di pawagam.

“Lagipun kami merasakan filem ini sesuai untuk ditayangkan semula sempena sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia memandangkan intipati utama filem ini berkisar kepada seorang insan yang dikenali memperjuangkan maruah bangsa, agama dan tanah air daripada kerakusan penjajah,” ujarnya.

Gayong arahan Faisal Ishak adalah sebuah filem yang diinspirasikan daripada kisah Pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR).

Sudah ditayangkan di pawagam pada 5 Mei lalu, filem berkenaan mejampilkan barisan pelakon popular seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip dan Yayan Ruhian.

Dalam pada itu, Khairul menjelaskan bahawa untuk tayangan semula ini, penonton akan dapat menonton versi yang lebih menarik dan istimewa dengan beberapa pembaharuan iaitu kombinasi ‘director’s cut’ dan pengkritik filem.

“Selain itu, kami juga ada membuat penambahan yang cukup eksklusif klip-klip adegan babak dalam filem Gayong 2 yang dijangka akan ditayangkan pada tahun hadapan.

“Filem ini akan ditayangkan di pawagam TGV Cinemas di seluruh Malaysia, malah harga tiket yang ditawarkan juga sangat berpatutan iaitu hanya RM10 sahaja,” jelasnya.

Pada masa sama, Khairul menyeru kepada pihak seperti badan kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), malah kepada semua rakyat malaysia melangkaui fahaman politik untuk beramai-ramai menonton Gayong kerana filem berkenaan menyuntik semangat perpaduan bagi memartabatkan maruah bangsa agama dan negara.

Selain pembelian tiket secara dalam talian dan walk-in di pawagam, mana-mana pihak yang berminat untuk membuat tempahan secara berkumpulan juga boleh mendapatkan maklumat di semua platform media sosial @filemgayongrasmi. – KopiPlanet.comk

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button