
Pembinaan Hab Biojisim MPOB Mampu Jana Pendapatan Tambahan Pekebun Kecil Kelapa Sawit
Kajian yang dijalankan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pelepah sawit mempunyai kandungan selulosa yang tinggi dan setanding dengan tandan kosong sawit (EFB).
Ketua Unit Teknologi Biojisim MPOB, Noorshamsiana Abdul Wahab berkata, ia menjadikannya bahan mentah yang sesuai untuk penghasilan selulosa dan terbitannya seperti nanoselulosa, mikrokristalin selulosa (MCC) dan karboksimetil selulosa (CMC) yang mempunyai nilai pasaran tinggi.
“Biojisim daripada ladang merangkumi pelepah dan batang sawit. Keterdapatan pelepah adalah berterusan, namun batang sawit hanya dapat diperoleh bergantung kepada aktiviti penanaman semula yang melibatkan penebangan pokok.
“Penebangan batang sawit lazimnya dilakukan apabila pokok mencapai usia sekitar 25 tahun ke atas bagi memberi laluan kepada penanaman semula, menjadikan bekalannya tidak konsisten sepanjang tahun.
Noorshamsiana berkata demikian ketika sesi pembentangan di Kongres & Pameran Antarabangsa Minyak Sawit MPOB (PIPOC) 2025 yang berlangsung baru-baru ini di bawah tajuk ‘Pengolahan Biojisim Sawit ke Arah Platform Kimia: Penekanan terhadap Selulosa dan Terbitannya’.

Jelas beliau, selama ini negara lebih banyak mengimport selulosa ini dari luar negara bagi memenuhi keperluan pemain-pemain industri yang terlibat.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan pihaknya mencadangkan pembinaan sebuah hab yang akan memproses biojisim sawit yang berpotensi menjadi sumber pendapatan sampingan baharu kepada peladang serta pekebun kecil.
Ujarnya, hab ini memberi tumpuan kepada pelepah sawit bagi menghasilkan produk perantara sebelum ditukar kepada produk bernilai tambah tinggi seperti bahan kimia lignoselulosa, biokomposit, pelet, pulpa dan kertas.

“Sudah tentu dengan langkah ini mampu untuk menjana pendapatan tambahan kepada pekebun kecil memandangkan pada masa ini pelepah dan batang sawit lazimnya hanya dibiarkan di ladang sebagai bahan organik untuk menyuburkan tanah.
“Sebahagian nutrien akan terus dikekalkan di ladang kerana tidak semua biojisim akan diambil. Hanya bahagian tertentu akan difokuskan sebagai bahan mentah untuk pemprosesan,” katanya.
Beliau berkata, cadangan pembinaan hub ini diharapkan dapat dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), di mana lokasi pula adalah di Ladang MPOB Keratong, Pahang. – KopiPlanet.com



