• FOLLOW US
Filem, Malam Gala

Penonton Terhibur Dengan Aksi Selamba Jibam

Bakal menjengah pawagam bermula 7 Disember ini, filem Jibam telah berjaya mencuit hati penonton yang sudah menonton filem adapatasi novel itu pada malam tayangan perdana yang diadakan di MM Cineplexes, Damansara, semalam.

Menerusi pemerhatian di pawagam, suasana ceria dan gelak tawa kedengaran dan rata-ratanya cukup terhibur dengan dialog dan babak-babak mencuit hati yang terdapat dalam filem arahan pengarah baharu, Che Mie itu.

Jibam merupakan adaptasi daripada novel dengan judul sama yang merupakan karya kartunis terkenal Ibrahim Anon atau Ujang.

Novel yang popular sekitar tahun 90-an itu pernah mendapat perhatian peminat novel tanah air.

Dan berbekalkan itu, pengarahnya berani membawakan judul ini ke layar perak bagi mengembalikan memori dan kenangan pembaca Jibam ke dalam dimensi seni yang lain.

Filem terbitan Spektra Selasih ini akan ditayangkan di 89 pawagam seluruh negara bermula 7 Disember ini bersempena cuti persekolahan.

Jibam mempertaruhkan banyak nama pelakon berbakat antaranya adik Muhammad Ariff Abdullah, Syafie Naswip, Bohari Ibrahim, Farah Ahmad, Esma Daniel, Fadzlan Hazim dan Mia Ahmad.

Selain itu, ia turut mengentengahkan ramai pelakon lama yang masih lagi menyinar sehingga kini iaitu Kazar Siasi, Zaidi Rock dan Kamarool Yusoff yang mempamerkan mutu lakonan yang cukup berkesan.

Lakonan Ariff sebagai Jibam benar-benar menghiburkan dengan ekspresi muka dan dialog ‘selamba’ yang berjaya memecah gelak tawa penonton.

Menurut Che Mie, antara cabaran yang paling besar baginya ialah untuk memilih pelakon utama kanak-kanak yang membawakan watak Jibam.

Namun akhirnya pencarian itu berjaya apabila Ariff dipilih untuk menjayakan watak Jibam. Jibam merupakan filem pertama yang dilakonkan Ariff sebelum dia membintangi drama 7 Hari Mencintaiku yang mana dia popular dengan watak Buntat yang pernah menjadi viral satu ketika dahulu.

“Untuk filem ini saya terpaksa mencari seorang guru untuk mengajar teknik lakonan kepada Ariff. Saya lakukan ini supaya Ariff dapat menjiwai watak Jibam dengan baik memandangkan ini kali pertama dia berlakon filem,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Jibam mengisahkan tentang seorang kanak-kanak istimewa iaitu Ashraff atau nama panggilannya Jibam yang sedikit lembab akal fikirannya, namun Jibam mempunyai keistimewaan yang tersembunyi.

Dia mewarisi kepandaian bapanya, Suman untuk mengubati penyakit. Suman mati terbunuh dalam hutan yang mana kematiannya menjadi misteri di kalangan orang kampung.

Jibam bernasib malang apabila sering kali dibuli budak-budak kampung seusianya dan juga dibenci oleh Tok Ngah Sudin dan Usin Singai yang mempunyai ‘dendam’ terhadap bapanya. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend