• FOLLOW US
Filem, Terkini

Penularan Virus Covid-19, Tayangan Bulan & Pria Terhebat Diteruskan

Tayangan filem Bulan & Pria Terhebat akan tetap terus ditayangkan seperti yang dijadualkan, meskipun penularan virus Covid-19 di Malaysia kini memasuki gelombang kedua.

Penerbitnya, Sein Qudsi berkata, perbincangan sudah dilakukan dan keputusan telah dibuat apabila filem berkenaan akan tetap tayang pada 12 Mac ini.

“Kami telah memikirkan beberapa faktor sekiranya filem ini terus ditayangkan mengikut jadual atau ditunda selepas hari raya nanti.

“Jadi keputusan telah dibuat agar filem ini tetap tayang pada tarikh asal dan perlu menangggung sebarang risiko,” ujarnya ketika ditemui sebaik selesai majlis tayangan perdana filem berkenaan malam tadi.

Bulan & Pria Terhebat merupakan sebuah filem aksi komedi menerusi usaha sama antara Astro Shaw, Skop Production dan Nizra Production Sdn. Bhd.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara tersebut, Sein menyatakan bahawa sekiranya tarikh tayangan ditunda, mereka akan terpaksa bersaing dengan banyak filem-filem lain.

“Kalau dilihat sebelum ini pun sudah ada beberapa filem yang menunda tayangan gara-gara Covid-19 dan dijangka tayangannya selepas hari raya. Kalau kami ikut langkah sama, pasti kami akan bersaing dengan filem-filem tersebut.

“Apabila kami teruskan pula, pasti akan berdepan risiko kurangnya penonton ke pawagam. Apa pun kami telah bersedia dengan segala kemungkinan yang akan timbul,” jelasnya.

Diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar, ia menampilkan barisan pelakon seperti Zahirah Macwilson, Zizan Razak, Maya Karin, Bell Ngasri, Alif Hadi dan Khir Rahman. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend