
Selepas sekian lama tidak muncul, Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Cameronian BOH kembali tahun ini dengan penghormatan diberikan kepada Datuk Mohd Baharim Mohd Sharip, 78, seorang veteran Dondang Sayang.
Istimewanya, Dondang Sayang tersenarai sebagai warisan budaya oleh UNESCO yang merupakan seni tradisional Melayu yang masih dimainkan di Melaka oleh orang Melayu, Baba Nyonya, Cheti dan Portugis.
Mohd Baharim mempelajari cara bermain biola dan menyanyi mengikut gaya seni tradisional dari datuknya yang juga seorang seniman Dondang Sayang.
Beliau telah menumpukan lima dekad terakhir dalam hidupnya untuk membuat persembahan Dondang Sayang, dan mempunyai lima album.
Anugerah Seni Cameronian BOH Ke-18 (18BCAA) menyampaikan 30 anugerah dan sejumlah wang tunai RM44,000 buat penggiat seni dari pelbagai bidang termasuk tarian, muzik, teater muzikal dan teater di Stage 1 PJPAC, sebuah ruang seni persembahan yang dilengkapi dengan peralatan berteknologi terkini bertempat di Pusat Membeli Belah 1 Utama, 1 Utama E.

Majlis penganugerahan ini bukan hanya dikendalikan oleh seorang tetapi empat hos diikuti dengan rentetan lagu dan tarian, serta Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.
Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations Sdn. Bhd. Jason Foo mengucapkan sekalung tahniah kepada semua pemenang malam itu dan memberikan pujian istimewa buat semangat ketekunan dan keazaman semua yang terlibat dalam sektor seni persembahan tempatan yang berjaya melalui pandemik COVID-19 2020-2022.
“Anugerah Seni BOH Cameronian, yang pertama dilancarkan pada 2002, sentiasa menjadi pencapaian industri yang dinanti-nantikan untuk meraikan bakat, kontribusi dan inspirasi cemerlang dalam industri seni persembahan.
“Edisi ke-18 tahun ini membawa maksud yang lebih mendalam. Ia adalah bukti kuat kepada kemahuan jiwa manusia, yang memberi tumpuan kepada semangat, ketabahandan versataliti. Faktor ‘ummph’ ini telah membantu penggiat seni dalam mengharungi tahun-tahun sukar untuk terus berada di landasan.
“Hasilnya, kini kita berada di ambang permulaan baharu untuk meraikan ‘A New Day Setia Pada Senimu’. Mulai sekarang,kami yakin industri seni persembahan boleh mencapai tahap kecemerlangan kreatif ke aras yang lebih tinggi,” kata Foo. – KopiPlanet.com



