Rancangan TVTV

Program Luar Biasa Papar Kisah Sebenar Individu Hilang Upaya Kembali Bekerja

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menerbitkan program televisyen terbaharunya iaitu Luar Biasa yang mengetengahkan kisah dan pengalaman individu hilang upaya yang dapat kembali bekerja setelah mengikuti Program Return To Work (RTW) PERKESO.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, PERKESO telah berjaya mengulangi kejayaannya menerbitkan sebuah lagi program televisyen yang bertajuk Luar Biasa dan ia terbitan yang keempat,selepas kejayaan menerbitkan tiga buah program realiti televisyen sebelum ini.

“Pada tahun 2016, PERKESO telah menerbitkan sebuah program televisyen yang bertajuk Dahsyatnya PERKESO, tahun 2017 pula Inspirasi Harapan telah diterbitkan untuk layar dan seterusnya Program Bangkit #PERKESOPRIHATIN’.

“Seperti program-program televisyen yang diterbitkan sebelum ini, Luar Biasa akan memaparkan kisah perjalanan peserta-peserta Program Return To Work PERKESO atau RTW, yang telah berjaya mengharungi liku-liku kehidupan setelah mereka diuji dengan musibah kemalangan atau penyakit,” ujarnya.

Beliau berkata, peserta program RTW PERKESO juga merupakan Orang Berinsurans (OB) PERKESO yang akhirnya telah berjaya bangkit semula dari bencana dan kesengsaraan yang dihadapi, menerusi sokongan dan bimbingan yang diberikan menerusi Program RTW.

Jelasnya, kini para peserta rancangan kini mampu berdikari dan meneruskan kehidupan, malah turut menyumbang tenaga dan bakti kepada masyarakat.

Menjelaskan lebih lanjut tentang program berkenan, beliau menjelaskan ia merupakan program bual bicara santai yang akan bersiaran selama 13 episod, di mana ia memaparkan cabaran, suka dan duka serta pengalaman para peserta Program RTW PERKESO.

“Program Luar Biasa ini akan menggunakan pendekatan yang sedikit berbeza berbanding dengan program realiti terbitan PERKESO sebelum ini.

“Fokus utama program Luar Biasa bukan sahaja melibatkan rakaman video kisah ‘luar biasa’ peserta Program RTW, malah ia turut menjadi platform untuk menyalurkan maklumat tambahan kepada orang ramai mengenai skim-skim dan inisiatif perlindungan keselamatan sosial PERKESO,” ujarnya.

Menariknya, program realiti 13 episod itu juga menggandingkan dua selebriti terkenal tanah air iaitu Norman Hakim dan Shiha Zikir sebagai pasangan pengacara.

Sesi perbincangan dalam setiap episod mengetengahkan beberapa topik diskusi yang menarik dan pelbagai bersama barisan tetamu jemputan yang terdiri daripada pakar, selebriti dan juga pengurusan kanan PERKESO.

“Program ini akan turut menyelitkan peranan dan aktiviti yang dijalankan di bawah Program RTW PERKESO, selain turut menyajikan maklumat terkini berkaitan skim-skim perlindungan dan inisiatif terbaharu PERKESO kepada penonton,” ujarnya.

Bakal menemui penonton mulai 4 Jun ini, Luar Biasa akan disiarkan setiap Jumaat, jam 9.00 malam di saluran 125 – Astro Prima (SD) dan saluran 105 – Astro Prima HD.

Bagi yang terlepas untuk menonton program ini di televisyen, ia juga boleh ditonton di saluran YouTube rasmi PERKESO. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button