
Proses Mediasi Jumlah Ganti Rugi Kes Saman Awal Ashaari & Scha Alyahya Terhadap D’Haja Ditetapkan Pada 17 Januari 2022
Proses mediasi bagi menyelesaikan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar syarikat pembekal tekstil D’Haja (Malaysia) Sdn. Bhd. terhadap pasangan selebriti Awal Ashaari dan isterinya Scha Al-Yahya ditetapkan pada 17 Januari 2020 di Mahkamah Tinggi.
Menerusi laporan Bernama, pada 8 September lalu, Mahkamah Tinggi mencadangkan supaya pihak yang terlibat berbincang untuk menyelesaikan jumlah ganti rugi secara baik menerusi mediasi tanpa melalui proses rayuan.
Sebelum ini, D’Haja memfailkan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan syarikat itu membayar ganti rugi sebanyak RM345,305 kepada Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari dan isterinya, Scha Alyahya atau Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir.
Mahkamah Sesyen membuat perintah itu selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan pasangan suami isteri itu terhadap D’Haja berhubung dakwaan pelanggaran kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi jenama Bleu dan Maroon keluaran pasangan terbabit.
Peguam Muzzammil Merican Hasnal Rezua Merican yang mewakili D’Haja berkata, proses mediasi akan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.
“Sekiranya tiada penyelesaian dicapai oleh kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 19 Januari 2022 dan pada tarikh itu mahkamah akan menetapkan satu tarikh lain untuk pendengaran rayuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen itu,” katanya.
Mediasi ialah proses bagi menyelesaikan suatu pertikaian tanpa melalui perbicaraan di mahkamah.
D’Haja telah memfailkan rayuan pada 3 April 2019 atas alasan Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika membenarkan tuntutan saman pasangan selebriti berkenaan pada 27 Mac 2019.
Mahkamah Sesyen itu juga membenarkan tuntutan balas difailkan D’Haja serta memerintahkan Awal dan Scha membayar RM55,000 selepas mendapati pasangan berkenaan memungkiri perjanjian dengan menjual sendiri minyak wangi itu ke Brunei.
Menerusi saman yang difailkan pada 30 April 2018, Awal dan Scha berkata, mereka telah menandatangani kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi jenama Bleu dan Maroon dengan D’Haja pada 11 Oktober 2016 selama dua tahun iaitu hingga 10 Oktober 2018.
Bagaimanapun, mereka mendakwa D’Haja gagal melaksanakan tanggungjawabnya selaras dengan terma asas perjanjian selain gagal memulangkan sejumlah 3,215 botol minyak wangi yang dikatakan rosak, gagal menyediakan rekod transaksi jualan dan enggan membayar tuntutan kerugian itu. – KopiPlanet.com
Kredit artikel & foto: Bernama
* Jom klik link Telegram https://t.me/KopiPlanet & subscribe untuk mengetahui cerita2 terbaharu dunia hiburan