
“Rezeki Semuanya Aturan Allah…” Nubhan Ulas Tentang Ada Netizen Nak Boikot Produk Mak Jenny
Penyanyi popular Nubhan mengganggap isu penceraian yang berlaku dengan bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek merupakan satu dugaan buat dirinya.
Ujar Nubhan, dia redha apabila isu berkenaan telah membuatkan ada segelintir netizen yang mahu memboikot produk Mak Jenny yang diusahakannya.
“Rezeki semuanya aturan Allah… saya terima apa sahaja yang berlaku. Ia adalah satu dugaan untuk diri saya. Saya rasa mak saya yang tak tahu apa-apa dan dia sendiri pun tak tahu yang dia dikecam juga.
“Ada yang berkata buruk-buruk dekat mak saya. Sebenarnya video yang saya buat dengan mak pun dia tak tengok. Dia jadi diri dia sebab itulah dia,” ujarnya.
Nubhan berkata demikian ketika ditemui media semasa majlis pengenalan peserta Gegar Vaganza 12 yang berlangsung pada malam tadi.
Penyanyi berkenaan diperkenalkan sebagai salah seorang daripada 13 peserta yang akan bersaing dalam program nyanyian tersebut.
Jelas Nubhan, jika ada mana-mana pihak yang bertindak mahu memboikot produk berkenaan, dia tidak boleh memaksa dan marah.
“Saya cuma harap dan doa agar Allah lancarkan sahaja perjalanan saya. Walaupun saya di Gegar Vaganza atau perniagaan Mak Jenny.
“Dengan perniagaan tersebut, mak saya seperti mendapat satu nikmat yang lain setelah membesarkan kami lapan beradik. Apabila saya dapat menunaikan hasrat mak yang sudah pada usia yang senja, itu suatu kebanggaan,” luahnya.
Sebelum ini, Nubhan mengejutkan ramai pihak apabila mengambil keputusan untuk bercerai dengan Dr Afifah setelah 10 tahun melayari bahtera perkahwinan. – KopiPlanet.com



