Jika penyanyi lain terpaksa menunggu masa yang lama untuk keluarkan single baharu, berbeza pula bagi penyanyi popular lagu dialek Kelantan, Rosalinda.
Meskipun namanya jarang dipetik sebagai artis sensasi atau tersohor, namun rezekinya sebagai penyanyi mengatasi selebriti yang sering mendapat liputan media.
Peminat belum puas berbicara tentang lagu duetnya bersama Man Khan, ‘Mek In Kelate’ yang dikeluarkan pada April 2026, Rosalinda kembali dengan lagu terbaharu, ‘Abe Jange Bimbey’ menampilkan Eddie Hamid pula bulan ini.
Bukan itu saja, Ogos lalu, Rosalinda atau nama sebenarnya, Shahima Edayu Akma Binti Mohd Alwi, 35, baru saja tampil dengan single solo, ‘Buke Tak Laku’.
Bagi penyanyi yang berasal dari Kemaman, Terengganu itu, beliau bersyukur kerana kerjaya seninya mendapat perhatian ramai.
“Alhamdulillah, semua yang berlaku telah ditetapkan Allah. Saya memang tak sangka dalam tempoh yang singkat mendapat peluang untuk tampil dengan single baharu lagi.
“Walaupun single solo ‘Buke Tok Laku’ masih baharu di pasaran, rupa-rupanya ada lagi syarikat rakaman yang berminat untuk merakam single solo baharu saya. Ini semua rezeki yang tak dijangka,” katanya dengan rasa syukur.
Jelas Rosalinda, beliau rasa bertuah dapat bergandingan dengan penyanyi dan komposer ternama, Eddie Hamid dalam single terbaharu beliau. Lagu berentak dangdut Indonesia itu juga merupakan ciptaan Eddie Hamid manakala lirik lagu ditulis oleh Ijel, Mama Ana serta Jaju.
“Saya dapat tawaran untuk rakam lagu ‘Abe Jange Bimbey’ daripada abang Eddie awal Julai lalu. Apabila mendengar lagu ini, saya dapat rasakan lagu ini boleh diterima oleh semua golongan pendengar.
“Sewaktu ditawar untuk rakam lagu ini, saya diberitahu akan bergandingan dengan seseorang. Saya memang tak tahu siapa bakal pasangan duet saya tapi apa yang penting ialah melaksanakan tanggungjawab saya dengan sebaik-baiknya.
“Bila saya pergi ke studio rakaman K-Seventh, Kota Bharu, barulah saya tahu akan bergandingan dengan abang Eddie dalam lagu terbaharu ini. Terharu sangat. Walaupun sebelum ini kami pernah bergandingan tapi bersama ramai penyanyi-penyanyi yang lain. Kali ini, kami berdua saja. Vibes bergandingan dengan orang tersohor ni memang berbeza tau,” kongsi Rosalinda.
Sambungnya lagi, beliau mula menjalani rakaman di studio pada awal Ogos secara solo dan ditemani oleh Eddie yang banyak membantunya ketika proses rakaman.
Selain lagu, video muzik untuk lagu ‘Abe Jange Bimbey’ juga sudah siap menjalani penggambaran.
“Video muzik lagu ni sudah siap sepenuhnya dan kami membuat penggambaran di Pantai Ndo, Tumpat. Kali ini, saya tampil solo dalam video muzik tersebut tanpa pelakon undangan dengan penampilan istimewa Eddie,” katanya.
Rosalinda berharap lagu ‘Abe Jange Bimbey’ dapat diterima ramai sekali gus mendapat tempat dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) seperti lagu dialek Kelantan yang lain sebelum ini.
Meskipun Rosalinda terkenal sebagai penyanyi lagu dialek Kelantan dan dikir barat, beliau tetap ada impian untuk merakam lagu dalam genre pop.
“Bohonglah kalau saya katakan tak ada impian nak keluarkan lagu-lagu dalam genre pop seperti penyanyi lain selain lagu dialek Kelantan. Kalau ada peluang untuk rakam lagu arus perdana, memang saya tak akan menolak.
“Mungkin belum masanya lagi, saya kena bersabar dulu. Apapun saya tetap bersyukur kerana setakat ini, saya masih ada beberapa lagu lagi yang dalam proses pembikinan.
“Saya bukan tamak, tapi saya percaya pada rezeki kerana setiap orang ada bahagian masing-masing. Bagi saya, setiap karya yang saya keluarkan bukan untuk bersaing dengan sesiapa pun,” katanya.
Single ‘Abe Jange Bimbey’ nyanyian Rosalinda terbitan usaha sama Dua Karya Production dan Kijang Music yang dilancarkan pada 12 November 2026 kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik utama dan muzik video rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Kijang Music. – KopiPlanet.com




