Rancangan TVTV

Rumah No. 107 Kembali Temui Penonton Untuk Musim Yang Kedua

Selepas berjaya memenangi hati penonton dengan pengisian menarik dan penuh berinformasi sepanjang bersiaran di musim yang pertama Jun tahun lalu, program sketsa dan bual bicara komedi terbitan Astro Warna, Rumah No. 107 kembali menemui penonton.

Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh berkata, keputusan pihaknya mengembalikan semula Rumah No. 107 ini setelah melihat kepada sambutan yang diberikan peminat pada musim yang lalu.

“Pengisiannya yang dilihat kreatif dan luar dari kotak’ apabila mengangkat kisah-kisah inspirasi dan juga pengalaman barisan selebriti sebelum menempa nama dalam industri ternyata berjaya menambat hati peminat.

“Walaupun berlatarbelakangkan sketsa komedi, topik-topik perbincangan yang diketengahkan Rumah No. 107 terutamanya dalam segmen ‘Pillow Talk’ telah berjaya membuka hati selebriti jemputan untuk berkongsi kisah dan pengalaman hidup masing-masing,” ujarnya.

Menariknya, Rumah No. 107 sekali lagi mengekalkan pemain utamanya sebagai pengemudi, dengan diketuai oleh pelakon, penyanyi, pengacara, penulis skrip dan pengarah versatil tanah air iaitu Khir Rahman. 

Dia turut ditemani barisan pelawak dan pelakon komedi popular negara seperti Joey Daud dan Vicha yang masing-masing pertama kalinya ditampilkan pada musim lalu kekal memegang watak asal.

Ia mengisahkan Tok K (Khir Rahman), seorang datuk berumur dalam lingkungan 50-an yang mempunyai penyakit mudah lupa namun tetap meminati dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini industri seni tanah air.

Dia ditemani Joey (Joey), cucu kepada Tok K yang agak nakal, memiliki mulut yang agak laser dan gemar menyakat anak-anak gadis, manakala Ropie (Ropie) merupakan jiran mereka dan rakan karib kepada Tok K yang kini telah mengahwini Bibik Cha (Vicha). 

Bersiaran sebanyak lapan episod dengan berdurasi 90 minit setiap episod akan menyaksikan penglibatan ramai nama-nama tersohor tanah air sebagai selebriti jemputan.

Di antaranya termasuklah Linda Onn, Halim Othman, Zamani, Ameng SPRING, Dato’ Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi, Zul Huzaimy, Abby Abadi, Didie Alias, Zizi Kirana dan Kumpulan ELITE (Watie, Azza, Linda Raafar).

Tidak ketinggalan ia turut menampilkan Catriona Ross, Zarina Zainuddin, Saiful Apek, Dato’ Chef Wan, Syanie, Nabilla Razali, Datin Marlia Musa, Angeline Tan, Dato’ Aznil Hj. Nawawi, Awal Ashaari dan ramai lagi nama-nama yang disegani ramai. 

Jangan lupa saksikan Rumah No. 107 pada setiap hari Jumaat yang sudah bermula pada 4 Jun lalu, jam 9.00 malam di Astro Warna saluran 107 HD dan 127 SD.  

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, anda juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan platform On Demand. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button