FilemTV

Saingan Sengit Kategori Pelakon Lelaki & Wanita Terbaik… Antara Emosi, Keberanian & Kejujuran Lakonan

Selain kategori Filem Terbaik, dua anugerah yang paling dinantikan setiap tahun di Festival Filem Malaysia (FFM) ialah Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Terbaik.

Kedua-dua kategori ini sering menjadi topik hangat bukan hanya dalam kalangan penggiat industri, tetapi juga peminat yang mengikuti rapat perkembangan dunia perfileman tempatan.

Gelaran ini dianggap simbol tertinggi dalam dunia lakonan Malaysia. Ia menjadi satu bentuk pengiktirafan terhadap usaha, pengorbanan dan evolusi seorang pelakon dalam memberi makna kepada watak di layar perak.

Di edisi penganjuran ke-34, persaingan bagi kategori lakonan utama dianggap antara yang paling sengit dalam sejarah FFM mutakhir.

Calon-calonnya datang daripada pelbagai latar filem yang berbeza, daripada aksi berskala besar dan kisah benar, hinggalah ke drama psikologi dan naratif kekeluargaan yang sarat emosi. Hal ini menjadikan penilaian juri FFM 34 semakin mencabar kerana setiap persembahan memiliki kekuatan tersendiri dari sudut teknikal dan penghayatan.

Dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik, lima calon utama ialah Sharnaaz Ahmad (Blood Brothers: Bara Naga), Beto Kusyairy (Reversi), Qi Razali (Babah), Aeril Zafrel (Laknat) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee). Kelima-limanya mewakili spektrum lakonan yang luas, daripada aksi dan ketegangan hingga introspeksi dan sentimental.

Sharnaaz Ahmad dilihat mempunyai momentum yang kuat hasil kejayaan besar Blood Brothers: Bara Naga, filem aksi-drama yang mencatat kutipan lebih RM76 juta.

Dalam filem ini, Sharnaaz mempersembahkan watak yang menuntut kekuatan fizikal serta kedalaman emosi, terutama dalam babak-babak konfrontasi yang mencabar. Kejayaan filem ini menjadikan namanya di barisan hadapan bukan hanya kerana populariti, tetapi kerana disiplin dan intensiti yang ditunjukkan di layar.

Namun, dari segi nilai artistik dan tafsiran watak, Beto Kusyairy muncul sebagai pencabar utama yang berpotensi mencipta kejutan.

Melalui Reversi, Beto membuktikan kematangannya sebagai pelakon yang sentiasa bereksperimen dan berani keluar dari zon selesa. Pengkiritik filem menggambarkan lakonannya sebagai ‘tenang di luar, bergolak di dalam’, memperlihatkan keupayaan luar biasa menghidupkan watak yang kompleks tanpa perlu berlebihan.

Qi Razali pula mendapat perhatian melalui Babah, sebuah filem kekeluargaan yang sederhana dari segi skala tetapi kaya dengan nilai kemanusiaan.

Wataknya sebagai ayah yang mempunyai masalah pendengaran dan pada masa yang sama berjuang dengan emosi memberi ruang kepada Qi menonjolkan sisi lembut dan jujur sebagai pelakon. Lakonannya tidak dramatik secara konvensional, tetapi keikhlasan emosinya memberi kesan mendalam kepada penonton.

Sementara itu, Aeril Zafrel dan Tony Eusoff memperkukuh senarai calon dengan lakonan yang mantap dan bersahaja. Aeril menampilkan sisi gelap dalam Laknat dengan intensiti yang tidak dibuat-buat, manakala Tony menghidupkan karakter ikonik peniru gaya Seniman Agung Tan Sri P Ramlee dalam Mencari Ramlee dengan karisma tersendiri.

Untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik, lima nama yang bersaing ialah Nabila Huda (Telaga Suriram), Datin Sofia Jane (Mencari Ramlee), Sweet Qismina (Babah), Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang, Aku Tahu Asal Usul Mu) dan Maya Karin (Telaga Suriram).

Setiap calon membawa aura dan kekuatan berbeza, melambangkan pelbagai dimensi lakonan wanita dalam sinema Malaysia hari ini.

Nabila Huda tampil ‘tanpa dialog’ melalui Telaga Suriram, filem yang menuntut keintiman emosi serta ekspresi tubuh yang kompleks. Lakonannya dilihat matang, menggabungkan ketakutan, dendam dan kelembutan dalam satu pakej yang sukar dijangka.

Dalam masa yang sama, Datin Sofia Jane membawa pendekatan tersendiri dalam Mencari Ramlee, mempersembahkan watak yang penuh simbolik dan bernuansa. Setiap gerak, tutur kata dan pancaran emosinya terjalin begitu lancar hingga menjadikan watak Zaiton hidup dengan keaslian tersendiri.

Persembahan Sofia bukan sekadar memukau secara visual, tetapi turut mengembalikan nostalgia dan kerinduan peminat terhadap pesona lakonannya di layar besar.

Sweet Qismina pula mencuri perhatian dalam Babah dengan lakonan tulus dan beremosi, namun tidak berlebihan. Walaupun masih muda, Sweet menunjukkan kematangan yang mengagumkan melalui ekspresi dan keupayaan mengimbangi nuansa sentimental hubungan bapa dengan anak perempuan dengan secukup rasa.

Khatijah Tan menghadirkan kekuatan tersendiri sebagai pelakon veteran yang berkarakter kuat dalam filem seram terbabit, manakala Maya Karin mengekalkan reputasinya sebagai pelakon versatil yang mampu menjiwai watak dengan gaya dramatik yang bersahaja.

Daripada pemerhatian keseluruhan, kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik FFM34 memperlihatkan bagaimana industri perfileman Malaysia kini berada di tahap yang semakin matang.

Jika juri memilih untuk menonjolkan aspek keberanian artistik, maka nama seperti Beto Kusyairy dan Sofia Jane mungkin berada di kedudukan hadapan. Namun, jika penghayatan emosi dan impak terhadap penonton menjadi pertimbangan utama, Sharnaaz Ahmad dan Nabila Huda memiliki peluang besar untuk membawa pulang trofi.

Qi Razali dan Sweet Qismina juga tidak boleh dipandang ringan kerana kejujuran lakonan mereka yang menyentuh dan mudah dihayati.

Festival Filem Malaysia ke-34 bakal berlangsung pada 1 November di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, dan disiarkan secara langsung di TV2. Acara berprestij ini akan dihoskan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim.

Tahun ini, kategori Filem Terbaik menawarkan ganjaran berbentuk Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta kepada pemenang, manakala kejayaan dalam kategori lakonan pula diiktiraf sebagai lambang tertinggi kecemerlangan individu dalam dunia seni lakon tempatan.

Tidak kira siapa yang akan diumumkan sebagai pemenang, barisan calon tahun ini sudah membuktikan mutu lakonan Malaysia berada pada tahap yang membanggakan.

Dari segi kepelbagaian karakter, keberanian mencuba bentuk naratif baharu dan kejujuran emosi yang ditampilkan, FFM 34 menjadi cerminan kepada kemajuan sinema tempatan yang semakin dihormati, bukan hanya di pentas anugerah, tetapi juga di hati penonton yang menghargai seni lakonan yang benar-benar hidup. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button