
Usanita Entertainment Sdn. Bhd. dengan bangganya mempersembahkan telefilem terbaharu bertajuk Saling Tak Terlihat, arahan pengarah prolifik Izuan Mokhtar yang bakal menemui penonton pada 6 November 2025, jam 9 malam.
Telefilem ini diterbitkan di bawah jenama UTV milik Usanita Group yang diketuai oleh Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Hasan dan menghimpunkan barisan pelakon hebat tanah air termasuk Remy Ishak, Nora Danish, Fattah Amin, Alicia Amin, Ummie Aida, Aleza Shadan dan Raja Azmi.
Mengangkat tema cinta, kehilangan serta semangat untuk bangkit semula, Saling Tak Terlihat menawarkan kisah yang menyentuh hati dengan sentuhan sinematik menawan berlatar belakangkan keindahan Auckland, New Zealand.
Menurut pengarah, Izuan Mokhtar, telefilem ini menjalani penggambaran selama sembilan hari yang mana dua hari di Malaysia dan tujuh hari di Auckland. Pengalaman itu memberikan cabaran tersendiri dari segi logistik, cuaca dan penyusunan semula jalan cerita.
“Sebenarnya idea asal telefilem ini saya rancang untuk menjalani penggambaran di Morocco. Saya sudah buat tinjauan ke Tunisia, Marrakesh dan Casablanca. Tapi akhirnya kami ubah lokasi ke New Zealand kerana faktor logistik dan visual yang lebih sesuai dengan naratif baharu.
Izuan turut berkongsi bahawa idea asal telefilem itu muncul daripada keinginannya untuk menghasilkan kisah cinta yang berbeza, yang menggabungkan emosi manusia dengan dunia kulinari.
“Saling Tak Terlihat ialah cerita tentang cinta dan makanan. Ia menggabungkan rasa cinta terhadap masakan dan rasa cinta antara dua insan. Saya mahu penonton merasakan keindahan cinta yang datang bukan daripada pandangan mata, tetapi daripada ‘rasa’ yang lebih mendalam,” katanya.
Lebih menarik, watak utama wanita dalam telefilem ini digambarkan sebagai seorang gadis buta, menjadikan tema ‘deria dan rasa’ lebih kuat dan simbolik dalam penceritaan.
“Saya percaya Orang Kurang Upaya (OKU) memiliki kelebihan tersendiri. Dalam kisah ini, watak buta mempunyai deria rasa yang sangat tajam. Dari situ datangnya hubungan emosi yang unik antara dua karakter utama,” tambahnya.
Sepanjang penggambaran, Izuan mengakui berdepan cabaran besar apabila cuaca di Auckland tidak menentu sehingga menyebabkan empat hari tertangguh akibat hujan lebat.
“Empat hari kami tak dapat shooting seperti dijadualkan kerana hujan berterusan. Jadi kami terpaksa ubah jadual, set semula lokasi. Apabila hujan berhenti kami teruskan penggambaran,” katanya.
Menariknya, Saling Tak Terlihat juga menandakan gandingan semula antara Remy Ishak dan Nora Danish, dua pelakon popular yang kali terakhir digandingkan beberapa tahun lalu.
“Remy dan Nora masing-masing mempunyai kehebatan tersendiri. Saya tahu kemampuan lakonan mereka dan kali ini saya beri ruang untuk mereka tampil lebih matang dan mendalam.
Telefilem ini sedikit berat dari segi emosi, berbanding telefilem Poskad Cinta Dari Auckland,” kata Izuan.
Sementara itu, Presiden UTV dan Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Hasan, berkata Saling Tak Terlihat merupakan sebahagian daripada usaha UTV memperkenalkan naskhah berkualiti tinggi dengan wajah pelakon yang pelbagai.
“Kami di UTV mahu tampilkan kepelbagaian wajah dan bakat, bukan hanya terhad kepada duta Usanita semata-mata.
“Setiap drama bersiri atau telefilem yang kami hasilkan bertujuan memperkukuh nilai karya tempatan agar setaraf dengan produksi antarabangsa,” katanya.
Sinopsis
Kisah bermula apabila Ghaz (Remy Ishak) kehilangan ibunya, seorang cef terkenal yang mengusahakan restoran milik keluarga. Sebagai seorang cef, Ghaz hilang arah apabila masakannya tidak lagi mampu menandingi sentuhan ibunya.
Dalam usaha mencari ketenangan dan inspirasi baharu, Ghaz membawa diri ke Auckland, New Zealand, bersama adiknya dan rakan sekerja (lakonan Fattah Amin dan Alicia Amin).
Di sana, pertemuannya dengan Safera (Nora Danish), seorang gadis buta yang mengubah perjalanan hidupnya. Safera menjadi sumber inspirasi dan semangat untuk Ghaz kembali mengejar impiannya. Namun, salah faham antara mereka memisahkan cinta yang baru berputik.
Dengan sinematografi menawan dan kisah yang sarat emosi, Saling Tak Terlihat menjanjikan pengalaman menonton yang indah, menyentuh perasaan dan penuh makna.
Telefilem ini akan disiarkan pada 6 November 2025, jam 9 malam, eksklusif di platform UTV. Dalam pada itu, Jadikan Aku Nadi Hidupmu menjadi runut bunyi bagi telefilem ini.
Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Ajai itu dipersembahkan oleh Lah Ahmad yang cukup dikenali dengan kekuatan vokal dan emosi dalam menyampaikan lagu. – KopiPlanet.com



