
Viu Malaysia, platform penstriman OTT pan serantau terkemuka milik PCCW mengumumkan tayangan perdana Satu, Dua…Dia? (The Boy Next Stage), sebuah drama baharu yang menyingkap sisi glamor, konflik dan gosip dalam industri muzik Malaysia.
Siri ini akan ditayangkan secara eksklusif di Viu bermula 23 Oktober 2025, dengan episod baharu pada setiap hari Khamis dan Jumaat.
Siri yang mempunyai 15 episod ini bakal membawa penonton menyelami dunia penuh tekanan sebuah kumpulan boyband fiksyen bernama RIV4L, menggabungkan persembahan muzik bertenaga dengan kisah sarat konflik tentang kemasyhuran di alam maya, persaingan dan rahsia.
Apabila Minat Melampaui Batas
Satu, Dua… Dia? mengisahkan Mia, seorang pelajar kolej yang mempunyai identiti rahsia sebagai penulis blog pop bernama “Ma Belle”.
Demi mengejar klik dan populariti, Mia menerbitkan artikel sensasi tentang Isa, vokalis utama kumpulan boyband RIV4L, yang akhirnya mengundang tindakan undang-undang. Demi menebus kesilapannya sendiri, Mia masuk ke dalam dunia RIV4L untuk membersihkan nama Isa.
Namun, dalam usahanya itu, dia mula melihat sisi sebenar idola yang hampir dimusnahkannya seorang lelaki dengan rahsia besar yang boleh memusnahkan kerjayanya.
Barisan Pelakon yang Menggabungkan Realiti dan Fiksyen
Siri ini dibintangi oleh Erysha Emyra sebagai Mia dan Ariel Fesol sebagai Isa, dengan gandingan mantap mereka menjadi tunjang utama kepada penceritaan drama ini.
Mereka turut disertai oleh barisan pelakon berbakat seperti Zarif Ghazzi, Afiq Hamidon, Rizal Rasid dan Fimie Don.
Apa yang menarik tentang Satu, Dua… Dia? ialah siri ini turut menampilkan Ariel Fesol dan Rizal Rasid daripada kumpulan boyband tempatan terkenal ALPHA, yang memegang peranan penting dalam kumpulan fiksyen RIV4L.
Strategi ini menggabungkan elemen realiti dan fiksyen, sekali gus menawarkan pengalaman istimewa apabila idola sebenar membawakan watak dalam dunia hiburan yang mereka sendiri kenali.
Selain itu, penonton juga boleh menantikan kemunculan khas daripada ahli ALPHA yang lain dalam siri ini.
Momen Istimewa Bersama Peminat
Viu Malaysia turut menghidupkan dunia Satu, Dua… Dia? di luar skrin melalui aktiviti eksklusif bersama peminat. Beberapa ahli Kelab Peminat Viu yang terpilih akan berpeluang muncul sebagai pelakon tambahan dalam babak konsert utama serta menghadiri sesi bertemu mesra bersama barisan pelakon, diserikan dengan persembahan langsung daripada ALPHA dan Fimie Don.
Kerjasama Strategik Bersama Ikon Muzik
Diarah oleh legenda muzik tersohor, Dato’ Yusry Abdul Halim daripada KRU, siri ini menonjol melalui sentuhan kreatif yang menggabungkan muzik dan drama dengan penuh gaya.
Kerjasama ini turut diperluas melalui kolaborasi bersama ICON Entertainment bagi KRU Concert Finale – One More Time, konsert akhir yang dinanti ramai di Stadium Hoki Bukit Jalil.
Acara ini akan menampilkan treler eksklusif, penampilan pelakon serta ruang interaktif Viu Booth yang menghubungkan dunia muzik dan digital. – KopiPlanet.com




