
Viu, perkhidmatan penstriman video OTT terkemuka oleh PCCW, Viu Malaysia dengan bangganya mengumumkan tayangan siri drama terbaharu, Putri & Phrince (Secrets at 17), bermula 21 Ogos 2025.
Diarahkan oleh pelakon terkenal yang kini bergelar pengarah, Liyana Jasmay, drama 12 episod ini mengetengahkan tekanan media sosial, dwi identiti, tarikan dan bahaya kemasyhuran di alam maya serta masalah sosial yang tegang di sekolah menengah.
Liyana, yang turut dikenali menerusi peranannya dalam Alter-Naratif, berjaya memberikan sentuhan segar dan asli kepada kisah remaja ini, serta mendalami emosi dan dilema moral yang menjadi sebahagian daripada kehidupan Gen Z masa kini.
Drama Remaja Mengenai Kuasa, Persepsi dan Harga Sebuah Kebenaran
Putri Jasmine Dzulkarnain (Nesa Idrus) menjadi sasaran buli oleh pelajar paling popular, Erica Dato’ Harris (Fara Nadiah) di Institut Kasturi, sebuah sekolah kluster berprestasi tinggi. Bertekad untuk melawan, Putri mencipta identiti rahsia di media sosial bernama @KarmaKween untuk membongkar sisi gelap golongan elit sekolah itu, bermula dengan Erica.
@KarmaKween meraih populariti begitu cepat dan membuat semua orang mula menunggu gosip terbaru (asalkan bukan gosip mengenai mereka). Dalam masa yang sama, Putri mula mengecap populariti di sekolah dengan bantuan sahabat karibnya, Lola (Khayrisyah Kemal) dan pelajar baharu yang kacak dan menjadi rebutan, Phrince (Badron Munirah). Namun, setiap rahsia yang dibongkarkan datang dengan harga, terutamanya apabila Aidil (Nik Rifaie), seorang pelajar yang berpegang teguh pada prinsip moral, mengubah keadaan dengan agendanya sendiri.
Putri & Phrince adalah kisah tentang cita-cita, persaingan dan penipuan yang bakal membawa penonton ke dalam dunia media sosial yang sentiasa berubah dan dilema moral remaja dengan pertanyaan: Sejauh mana anda sanggup buat untuk melindungi imej anda?
Barisan Wajah Baru
Siri ini menampilkan gabungan bintang baharu yang sedang meningkat naik dan pempengaruh yang beralih kepada dunia lakonan termasuklah Nesa Idrus, Badron Munirah, Fara Nadiah, Nik Rifaie, Khayrisyah Kemal dan Farihin Arnia, serta pelakon terkenal Adriana Adnan (Seribu Nina, Journal Sara-haeyo). Melalui bakat dan komitmen yang tinggi, mereka bersama-sama menghidupkan watak-watak kompleks yang digambarkan dalam cerita ini.

Kisah Untuk Generasi Media Sosial
Steven Lim, Pengarah Kreatif, Viu Malaysia berkata, “Kami teruja dapat bekerjasama dengan Liyana Jasmay dan Mermaid Studios untuk menghasilkan sebuah siri yang dekat di hati generasi masa kini. Putri & Phrince meneroka bagaimana identiti dan reputasi dibentuk dalam dunia di mana media sosial menjadi penentu segalanya, sambil menampilkan bakat-bakat baharu yang memberikan keaslian kepada watak mereka. Inilah bentuk penceritaan segar dan relevan yang diminta oleh penonton kami.”
Viu Malaysia terus menerajui seleksi drama yang berfokuskan generasi muda dan dekat di hati penonton tempatan. Gadis Masa berjaya mendapat pencalonan di International Streaming Festival Global OTT Awards 2025. Kini, drama terbaru Viu Abang Imam Minah Skuter pula mendominasi carta dua teratas tontonan di Viu Malaysia selama tiga minggu berturut-turut.
Ikuti kami di Facebook, Instagram, YouTube, X, dan TikTok. Muat turun Viu melalui App Store, Google Play, Huawei AppGallery, TV Pintar, atau layari www.viu.com. – KopiPlanet.com