DramaTV

‘Sepenuh Hati Rindu’ Sebuah Kisah Masyarakat Tentang Dilema Cinta Seorang Isteri

Sebuah lagi drama yang menyentuh realiti kehidupan bakal menemui penonton apabila Sepenuh Hati Rindu yang akan bersiaran di TV3 menerusi 20 episod yang sarat dengan konflik emosi, cinta dan persoalan yang sering menjadi perbincangan dalam masyarakat.

Penerbitnya, Jaja Ishak berkata, drama tersebut mengangkat kisah seorang isteri yang kehilangan suami, kemudian berkahwin lain dan tiba-tiba suaminya yang hilang itu muncul semula selepas beberapa tahun hingga membuatkannya berada dalam keadaan dilema.

“Kami memilih naskhah ini untuk dihasilkan kerana ia menyentuh situasi yang walaupun jarang berlaku, namun boleh terjadi dalam kehidupan sebenar dengan embawa persoalan tentang penyelesaian terhadap sesuatu masalah. 

“Dalam kes ini, bagaimana jika seorang suami yang telah lama hilang tiba-tiba muncul semula selepas bertahun-tahun? Apakah jalan penyelesaian yang terbaik dan bagaimana masyarakat harus memahami situasi seperti ini agar tidak timbul kekeliruan,” jelasnya.

Diarahkan oleh Kyoll Hamzah, drama ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Shah Jaszle, Fara Nabila, Syafie Naswip, Razzuan Rosli dan Raja Azmi. Penggambaran drama ini telah dijalankan selama 60 hari di beberapa lokasi menarik di negeri Pahang.

Screenshot

Sepenuh Hati Rindu mengisahkan perjalanan hidup Summayah (Farah Nabilah), seorang wanita yang kehilangan suami tercinta, Imran Zayn (Shahz Jaszle), dalam tragedi di laut ketika sedang hamil. Kehilangan itu meninggalkan trauma yang mendalam sehingga dia berusaha membina semula kehidupannya bersama anak lelakinya, Qhalifah Dhany (Sayf Mikael).

Dalam proses pemulihan, Summayah bertemu Luth Mikael (Razzuan Rosli), seorang lelaki yang disangkanya mampu mengubati luka lama. Kemudian segala-galanya berubah apabila Imran Zayn, yang disangka telah meninggal dunia, muncul semula selepas bertahun-tahun menghilangkan diri akibat hilang ingatan.

Jaja berkata, biarpun keadaan sedemikian jarang berlaku, namun masyarakat sememangnya perlu mempunyai pengetahuan dan pemahaman mengenainya.

“Kami berharap drama ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut membuka ruang perbincangan dan memberi perspektif baharu kepada penonton,” katanya.

Dalam pada itu, Jaja turut menjelaskan bahawa beliau sememangnya cenderung untuk menerbitkan karya yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat kerana percaya penonton lebih mudah menghayati cerita yang mempunyai kaitan dengan pengalaman seharian mereka.

“Saya lebih suka menghasilkan kisah-kisah kehidupan yang dekat dengan masyarakat. Penonton biasanya lebih gemarkan cerita yang mereka boleh kaitkan dengan kehidupan sendiri.

“Saya dilahirkan dan dibesarkan di kampung, jadi saya memahami bahawa naskhah sebegini mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri,” jelasnya.

Atas sebab itu, ujarnya JIC mengambil pendekatan untuk menerbitkan naskhah yang dekat di hati penonton supaya mereka benar-benar dapat menjiwai setiap perjalanan watak dan konflik yang dipaparkan. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button