
Setelah 16 Tahun Tak Berlakon Drama, Que Haidar Akhirnya Muncul Dalam Karya ‘Pak Su Ammara’
Pelakon hebat, Que Haidar barangkali bukan nama pelakon drama yang sering dilihat dalam kaca televsiyen sebaris dengan pemain industri masa kini.
Tapi percayalah, pemilik nama sebenar, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar ini sudah terlalu masak dengan dunia hiburan.
Khidmatnya sebagai pelakon sudah diperlukan sejak awal 2000 dengan pelbagai anugerah terlah diperoleh termasuk membawa pulang trofi Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-19 menerusi filem Castello.
Que, 46, juga telah menghidupkan pelbagai watak di layar lebar mahupun layar kaca televisyen. Setelah lebih sedekad tidak terlibat dengan projek drama bersiri, Que kini tampil perdana kali menerusi naskhah baharu yang bakal ditayangkan di saluran Astro Ria berjudul Pak Su Ammara terbitan Global Station Sdn Bhd.
“Saya sudah 16 tahun tidak mengambil tawaran bermain dalam drama bersiri dan kali ini pihak penerbit serta Astro berjaya memujuk saya untuk kembali bermain dalam karya berepisod.
“Sebenarnya, antara salah satu faktor saya menolak bermain dalam drama siri kerana berasa tidak sempat menyerap energi atau tenaga dalam karakter yang diberi kerana kami menjalani banyak babak dalam sehari.
“Namun untuk Pak Su Ammara, dengan bimbingan daripada pengarah, Azri Izhar dan seluruh tim yang memberi energi positif, saya seronok terlibat dalam naskhah ini,” ujar Que Haidar.
Membawa watak Pak Su, Que juga teruja kerana peluang bergandingan bersama aktres Ummi Nazeera.

“Saya ambil tawaran ini sebab mahu bekerja dengan Ummi Nazeera. Saya mahu bekerja dengan beliau. Ummi banyak membantu saya.
“Selain Ummi, saya juga dibantu oleh pelaku seni handalan, Dian P Ramlee dan pembawa watak Ammara juga bermain dengan baik,” katanya.
Mengaku cukup berdebar kembali ke set penggambaran drama berepisod selepas 16 tahun, namun kata Que dia perlu bersikap profesional dan tidak akan sesekali menarik ‘handbrake’.
“Walaupun saya sangat gugup terutama pada hari pertama, tapi Allah mendengar permintaan saya. Saya berdoa kalau kembali bermain drama berepisod, biarlah saya dikelilingi orang-orang baik dengan tenaga yang positif.
“Dan saya telah mendapatkannya dalam produksi ini. Jadi oleh kerana sudah setuju, saya tidak boleh tarik handbreak. Saya akan lakukan yang terbaik untuk Pak Su Ammara,” katanya lagi.
Pak Su Ammara mengangkat kisah tentang seorang guru pra sekolah bernama Hamiza dalam sebuah perkahwinan toksik. Hamiza meninggalkan perkahwinan toksiknya dalam keadaan diri sedang hamil. Di sepanjang perjalanan menjadi ibu tunggal, Hamiza berkenalan dengan bapa saudara salah seorang pelajarnya, Ammara Rose iaitu Firdaus atau Pak Su.
Drama 20 episod yang ditayangkan di saluran Astro Ria ini dan akan mula ditayangkan pada 5 Januari 2026 turut dibintangi pelakon hebat seperti Syazwan Zulkifly dan Dian P Ramlee. – KopiPlanet.com



