Cerita ArtisHiburan

Single Baharu ‘Terpatri Cinta’ Dekat Dengan Kisah Peribadi Zara Zya Dengan Sentuhan Melodi Beremosi

Nama pelakon dan penyanyi popular Zara Zya kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Terpatri Cinta”, sebuah karya istimewa ciptaan sepenuhnya oleh Wanns Ahmad, komposer dan penulis lirik berbakat yang turut terkenal dengan sentuhan melodi beremosi.

Lagu “Terpatri Cinta” mengetengahkan sisi lembut dan matang Zara Zya, menampilkan nuansa romantik dengan elemen Islamik yang menyentuh hati. 

Ia bukan sekadar kisah cinta biasa, sebaliknya membawa mesej mengenai kasih yang berpaksikan keikhlasan dan reda Ilahi.

“Pertama kali saya baca lirik dan dengar melodi Terpatri Cinta, hati saya terus tertarik. Lagu ni ada jiwa yang lembut tapi dalam liriknya bukan sekadar mengenai kasih, tapi tentang cinta yang berpaksikan keikhlasan dan reda Allah. 

“Wanns buat mengikut permintaan yang saya mahukan. Ada ‘vibes’ Indonesia dan sedikit Islamik,” katanya.

Menurut Zara, sebahagian daripada bait lagu ini cukup dekat dengan perjalanan peribadinya sebagai seorang wanita dan insan seni.

“Ada bahagian dalam lagu ini yang memang dekat dengan pengalaman saya. Ia bukan semata kisah cinta, tapi lebih kepada perjalanan hati bagaimana cinta itu boleh jadi doa,” katanya lagi.

Dari sudut mesej, “Terpatri Cinta” mengajak pendengar untuk melihat cinta daripada perspektif yang lebih suci, bukan hanya antara dua hati, tetapi dua jiwa yang berpaut menuju syurga bersama.

“Zara ingin sampaikan bahawa cinta yang paling indah adalah cinta yang disucikan dengan niat yang betul. Terpatri Cinta membawa mesej bahawa kasih yang halal dan diberkati itu bukan sekadar penyatuan dua hati, tetapi dua jiwa yang menuju syurga bersama,” jelasnya.

Dalam aspek produksi, Zara memilih “Terpatri Cinta” kerana merasakan karya ini memiliki keunikan tersendiri yang tidak berlebihan namun penuh emosi.

“Keunikan lagu ini terletak pada kesederhanaannya. Tak berlebihan, tapi sarat dengan emosi,” tambahnya.

Sepanjang proses rakaman yang mengambil masa hampir sebulan, Zara mengakui bahawa kerjasamanya dengan Wanns Ahmad berjalan lancar dan menyenangkan.

“Wanns seorang komposer yang sangat memahami jiwa saya. Dia tak hanya fikir soal teknik, tapi juga emosi. Dia pun faham, saya bukanlah penyanyi profesional. Proses rakaman pun mudah saja,” katanya.

Bagaimanapun, Zara turut berkongsi cabaran paling besar dalam penghasilan lagu ini adalah mengawal emosi agar setiap bait lirik disampaikan dengan rasa yang tulus.

“Ada beberapa bahagian lagu yang terlalu dekat dengan hati saya, sampai kadang-kadang suara pun bergetar. Saya juga selalu tak yakin dengan kemampuan diri sendiri,” ujarnya jujur.

Menariknya, “Terpatri Cinta” turut disertakan dengan muzik video rasmi berkonsep minimalis yang memberi tumpuan kepada ekspresi dan rasa, bukannya visual berlebihan.

“Konsep muzik video lebih minimalis, fokus pada rasa, bukan hanya visual. Terima kasih kepada Datuk Alha Alfa kerana sudi menaja muzik video Terpatri Cinta,” kata Zara penuh penghargaan.

Apabila diminta menggambarkan lagu ini dalam satu perkataan, Zara tanpa ragu menjawab;

“Abadi. Cinta yang abadi kerana Allah,” ujarnya ringkas namun penuh makna.

Menutup bicara, Zara menzahirkan harapan agar “Terpatri Cinta” diterima baik oleh pendengar pelbagai lapisan usia dan latar.

“Saya harap lagu ini dapat menyentuh hati pendengar, tak kira usia atau pengalaman mereka. Yakinlah bahawa cinta yang suci itu masih ada. 

“Kalau ada yang rasa tenang, terubat atau tersenyum selepas mendengar lagu ini, itu sudah cukup bermakna bagi saya. Terpatri Cinta bukan sekadar lagu, tapi doa kecil tentang cinta abadi,” katanya.

Lagu “Terpatri Cinta” yang telah dikeluarkan pada tarikh hari jadi Zara pada 22hb Oktober yang lalu kini boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik utama. Video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube ‘Seventeen Eleven Music’ di pautan ini https://youtu.be/4yn0FbkulsQ?si=NlwqjDkOxrP2C2xs . – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button