Cerita ArtisHiburan

Siti Nurhaliza Dedikasi Muzik Video Kuasa Cintamu Untuk Siti Aafiyah

Siapa boleh menafikan aura figura muzik tersohor tanahair Datuk Seri Siti Nurhaliza. Video muzik rasmi Siapa Tak Mahu yang baharu sahaja dimuatnaik pada 16 Oktober lalu, menjadikan peminat seni tanahair teruja sehinggakan video muzik tersebut berjaya mencapai 1 juta tontonan dalam tempoh 72 jam. Malah, video tersebut turut tersenarai dikedudukan #1 Video Muzik Paling Trending di YouTube Malaysia. 

Jika peminat teruja dengan keindahan visual video muzik Siapa Tak Mahu, pastinya mereka akan lebih tertarik dengan penceritaan video muzik rasmi Kuasa Cintamu. Lagu ciptaan Melly Goeslow dan lirik tulisan bersama Siti Nurhaliza ini menjadi video muzik ke-7 dari album ‘ManifestaSITI2020’.

Dalam menterjemahkan secara visual maksud di sebalik lirik lagu itu, pengarahnya, Adriana Tunku, memfokuskan cerita perjalanan hidup Siti Nurhaliza sejak kelahiran beliau sehingga dikurniakan cahaya mata sendiri iaitu Siti Aafiyah.

“Bila diteliti, lagu Kuasa Cintamu ini sebenarnya sarat dengan emosi yang bercerita tentang cinta yang bersifat universal. Ia boleh merujuk kepada beberapa bentuk cinta yang ada dalam kehidupan kita iaitu cinta kepada Tuhan, pasangan, ibu bapa, keluarga dan anak.

“Menerusi video muzik ini, kami mengambil tema yang lebih luas dalam menggambarkan kuasa cinta dalam kehidupan seseorang itu. Menampilkan kisah hidup Siti Nurhaliza sendiri sebagai tema utama dalam video muzik ini, kami cuba menyorot kembali perjalanan hidup beliau dari kecil hingga dewasa dan setiap bentuk cinta yang pernah dirasainya dari dahulu hingga kini,” jelasnya di sebalik konsep muzik video lagu berkenaan.

Jelas Adriana, bagi menggambarkan perjalanan berterusan dalam kehidupan penyanyi nombor satu negara itu, mereka merakam keseluruhan video muzik berkenaan dalam satu urutan tanpa sebarang gangguan.

Menurutnya, teknik penggambaran sekali rakam ini memerlukan perancangan yang rapi kerana ia dirakam dari perspektif satu kamera dalam satu masa dan ruang yang sama.

“Setiap butiran kecil melibatkan apa-apa perubahan di hadapan lensa kamera perlu dirancang rapi agar penonton tidak menyedari apa yang berlaku di belakang lensa kamera.

“Untuk mendapatkan ‘shot’ yang sempurna, kami terpaksa melakukannya berulang kali,” ujarnya.

Dalam pada itu, penerbit Razlan Shah menyifatkan Siti Nurhaliza adalah penyanyi yang paling profesional yang pernah beliau bekerjasama.

Ujarnya, bekerjasama dengan Siti Nurhaliza adalah suatu pengalaman yang sangat berharga buat pasukan kami.

Menurutnya, figura berkenaan cukup komited ketika pembikinan video muzik ini dan sentiasa memberikan yang terbaik ketika beraksi di hadapan lensa kamera.

“Sikap rendah diri dan profesionalisme beliau sememangnya melayakkannya bergelar nombor satu di Malaysia. Saya berterima kasih kepada beliau kerana memberi peluang kepada pasukan kami untuk memaparkan kisah peribadi hidupnya dalam video muzik sekali rakam ini.

“Saya juga berterima kasih kepada pasukan produksi Denhouse, Studio Selepas Ribut serta penata gaya Kel Wen dan Abu Shaef Hamza yang banyak membantu dalam merealisasikan visi artistik video muzik ini,” ujarnya.

Video muzik rasmi Kuasa Cintamu ini bukan sahaja membawakan kelainan dari segi teknik penggambaran, lebih istimewa apabila Siti Aafiyah turut terlibat menjayakannya.

Bertepatan dengan lirik yang dihasilkan, Siti Nurhaliza meluahkan penantiannya untuk memiliki Siti Aafiyah adalah satu anugerah daripada Yang Maha Berkuasa.

“Ini merupakan satu pengalaman baru buat saya kerana menjayakan penggambaran dalam satu urutan tanpa henti serta dalam masa yang sama saya harus menukar persalinan dalam masa beberapa saat sahaja.

“Kami mencuba beberapa kali dan akhirnya pihak pengarah mengambil hasil yang terbaik daripada penggambaran tersebut. Siti Aafiyah juga turut menyerikan video ini dan saya mendedikasikan video ini buat anakanda saya,” ujarnya.

Video muzik Kuasa Cintamu boleh dilayari di saluran YouTube Siti Nurhaliza sejak 1 Disember lalu. Selain itu, album ManifestaSITI2020 boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan Deezer. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button